mattzzx Publish time 26-5-2022 11:00 AM

Wang RM100,000 milik persatuan OKU lesap ditipu

ALOR SETAR: Wang RM100,000 milik sebuah persatuan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini lesap selepas diperdaya oleh individu yang menipu dalam urusan jual beli kereta secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata kejadian berlaku pada Mac lalu apabila mangsa iaitu lelaki berusia 31 tahun yang bertugas sebagai sukarelawan di persatuan itu hendak membeli sebuah kereta jenis Toyota Voxy dan berurusan dengan individu terbabit melalui aplikasi Facebook (FB) di Pendang.

Beliau berkata, kereta itu hendak dibeli bagi tujuan kegunaan persatuan memandangkan ia mempunyai kerusi automatik untuk menurunkan penumpang.

Katanya, mangsa melayari Facebook itu dengan melihat akaun FB terbabit yang menjual pelbagai jenis kereta import terpakai.

"Mangsa kemudian berminat untuk membeli kereta berkenaan untuk kegunaan persatuan OKU terbabit.

"Susulan daripada itu, mangsa kemudian berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian diminta membuat pembayaran dan atas kepercayaan tinggi untuk membeli kereta itu, mangsa membuat pemindahan wang secara berperingkat ke akaun bank yang diberikan oleh suspek pada sekitar bulan April dan Mei ini.

Beliau berkata, keseluruhan jumlah bayaran adalah sebanyak RM100,000.

"Penipuan ini mula disedari mangsa selepas suspek berjanji akan menyerahkan kereta itu kepadanya namun sehingga kini suspek mendiamkan diri dan gagal dihubungi.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pendang pada 23 Mei lalu selepas menyedari ditipu.

"Berikutan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2022/05/959460/wang-rm100000-milik-persatuan-oku-lesap-ditipu
Pages: [1]
View full version: Wang RM100,000 milik persatuan OKU lesap ditipu