Raline Publish time 30-4-2022 09:11 AM

Jinakkan ikan tapah di Sungai Gersik

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/04/WhatsApp-Image-2022-03-28-at-7.38.53-PM-1rrr.jpeg
ZULKIFLI menggunakan bot untuk memasang umpan dan mengangkat ikan tapah tersangkut pada tajur dipasang.

Jinakkan ikan tapah di Sungai Gersik

IKAN tapah merupakan spesies ikan air tawar yang banyak mendiami kawasan sungai dan tasik besar dengan dasarnya yang berlumpur dan air mengalir perlahan.

Kebiasaannya, spesies ini menjadi buruan kaki pancing khususnya mereka yang kerap memburu ikan sungai disebabkan harganya agak lumayan.

Bagi Zulkifli A. Wahab, 45, tugas hakikinya sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Tangkak, Johor tidak menghalang dirinya untuk meneruskan hobinya sebagai pemancing.

Malah, dia turut menjadikan hobinya itu sebagai mata pencarian sampingan dengan memburu ikan tapah yang dikatakan banyak mendiami Sungai Gersik yang terletak di daerah Muar.

Dia yang berpengalaman lebih 35 tahun sebagai kaki pancing memberitahu, memburu tapah bukanlah semudah disangka kerana ia memerlukan kemahiran tertentu, terutamanya teknik memasang tali pancing selain mengetahui waktu ikan memburu umpan.

“Biasanya, bagi memburu ikan tapah di Sungai Gersik, saya akan menggunakan teknik memasang taut atau tajur di lubuk yang mempunyai banyak pokok renek, paras air yang dalam dan berarus perlahan.

“Teknik ini juga mempunyai dua cara berbeza dan ia bergantung kepada lokasi untuk memburu spesies berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, bagi kaedah pertama iaitu di kawasan lubuk yang luas, dia biasanya menggunakan teknik ampaian.

Katanya, tali utama daripada jenis nilon diikat pada hujung ranting pokok yang menjuntai ke arah sungai.

Tali tersebut akan diikat merentangi kawasan memancing dan diikat pada dua dahan pokok bertentangan, membentuk seakan-akan tali ampaian atau penyidai sepanjang kira-kira tujuh hingga lapan meter, bergantung kepada keluasan lokasi.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/04/WhatsApp-Image-2022-03-28-at-7.38.51-PMSSS.jpeg
ZULKIFLI menunjukkan antara ikan tapah bersaiz besar yang berjaya dinaikkan menggunakan teknik tajur di Sungai Gersik.

Tali perambut pula katanya, akan diikat di tengah-tengah tali utama tersebut dan dipasang sama ada satu atau dua mata kail.

Untuk kaedah kedua iaitu di kawasan lubuk sempit pula, dia menggunakan batang buluh sepanjang kira-kira 6.09 meter bagi membolehkan umpan diletakkan di tengah-tengah lubuk.

“Untuk memburu ikan tapah, saya menggunakan mata kail bersaiz lima atau enam kerana ia agak besar dan lebih kuat serta tahan.

“Jika kawasan berkenaan luas, saya guna dua tali perambut yang diikat pada dua mata kail berbeza dan jika sempit, satu mata kail sudah memadai.

“Waktu paling sesuai untuk memasang umpan adalah antara pukul 6 petang hingga 7 malam.

“Ia bagi mengelak umpan diganggu ikan buntal sungai yang akhirnya menyebabkannya menjadi rosak atau lemah sehingga tidak mampu menarik minat ikan tapah membahamnya,” katanya.

Bercakap mengenai umpan, katanya, dia kerap menggunakan anak ikan keli hidup bersaiz antara 17.7 hingga 20.3 sentimeter panjang sebagai umpan utama.

Jika waktu bulan terang, dia menggunakan udang galah hidup, selain ikan bersisik putih seperti sebarau, terbol, tenggalan atau keleban kerana jika terkena cahaya pada waktu malam, mata udang berwarna merah, selain sisik ikan berkilat.

Disebabkan teknik memasang tajur atau taut memerlukan umpan dibiarkan tanpa perlu menunggu, dia hanya pergi semula ke lokasi berkenaan antara dua hingga tiga kali pada satu malam.

“Jika umpan dipasang pada pukul 6.30 petang, saya ke lokasi kira-kira pukul 12 tengah malam bagi melihat sama ada sudah ada ikan yang memakan umpan atau tidak, dan kali kedua adalah antara pukul 7 hingga 8 pagi.

“Jika belum mengena, tetapi umpan sudah rosak atau tidak aktif, saya menukarnya kepada yang baharu bagi memastikannya dapat menarik perhatian ikan.

“Pada satu-satu masa, saya memasang antara 70 hingga 100 mata kail di lokasi tertentu di sepanjang Sungai Gersik,” ujarnya.

Jelasnya, sepanjang menjadi pemburu ikan tapah sejak tahun 2007, dia pernah menaikkan spesies tersebut dengan saiz terbesar seberat 21 kilogram di sungai itu.

Katanya lagi, disebabkan harga tapah mencecah hingga RM65 sekilogram, kebanyakan ikan yang berjaya dinaikkan dijual terus kepada pelanggan sama ada individu mahupun restoran.

“Jika turun ke sungai untuk memburu tapah, biasanya sudah ada pelanggan menempah ikan yang bakal dibawa pulang, “ ujarnya.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/04/02/jinakkan-ikan-tapah-di-sungai-gersik/

Pages: [1]
View full version: Jinakkan ikan tapah di Sungai Gersik


ADVERTISEMENT