Raline Publish time 30-4-2022 09:07 AM

Siakap putih jadi buruan di Batu Pak Ngah

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/04/wefdweef.jpg
SOBRI memilih Batu Pak Ngah di Pulau Pinang sebagai lokasi memburu ikan siakap putih yang sememangnya menjadi impian setiap pemancing untuk menangkapnya.

Siakap putih jadi buruan di Batu Pak Ngah

DI SEBALIK sejarah tersembunyi yang terdapat di Batu Pak Ngah yang terletak berdekatan Pulau Jerejak, Pulau Pinang, lokasi tersebut juga dikatakan sudah lama menjadi tumpuan para pengail tegar setiap hujung minggu.

Perjalanan ke situ yang mengambil masa kira-kira 20 minit dari Jeti Pak Long di Batu Uban sememangnya dianggap sebagai lubuk rezeki buat kaki pancing dalam mempertaruhkan spesies ikan siakap putih.

Difahamkan, destinasi yang mempunyai laluan panjang dan berbatu itu cukup memberi makna sepanjang persinggahan kumpulan pemancing termasuk nelayan pantai.

Bukan seekor dua yang akan dibawa pulang, malah mereka yang mahir dikatakan mampu membawa lebih 10 ekor ikan ke darat.

Seorang pemancing, Sobri Karim, 37, berkata, lokasi tersebut dikatakan sudah lama menjadi destinasi tarikan pemancing tempatan berikutan terdapat banyak spesies ikan bersaiz besar, terutamanya siakap putih dan merah, kerapu serta ikan merah.

Akuinya, majoriti pemancing sanggup memilih untuk bermalam atau tinggal sepanjang hari di situ meskipun tiada sebarang tempat berteduh mahupun pondok khas.

“Kami akan pergi setiap minggu secara berkumpulan dari petang hingga awal pagi dan setakat ini, tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

“Pernah saya bawa balik seekor ikan siakap putih seberat 6 kilogram. Memang di situ port siakap putih. Jika air laut pasang, lagi banyak hidupan laut itu dapat diperoleh jika menggunakan umpan ikan belanak atau udang hidup.

“Hendak pikat ikan siakap perlu ada kepakaran dan teknik termasuk menggunakan pelampung, manakala bagi ikan kerapu dan merah pula, saya memilih aksesori seperti batu ladung,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, ujar Sobri, dia lebih gemar memilih Batu Pak Ngah sebagai lokasi memancing berikutan terletak berhampiran kira-kira 20 sangkar ikan.

“Jika bernasib baik, memang umpan boleh terkena ikan yang terlepas atau terlompat dari sangkar berdekatan. Ramai juga nelayan akan singgah di situ untuk memancing.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/04/frfrtr.jpg
KAKI pancing berpeluang membawa balik pelbagai spesies ikan.

“Pemancing boleh berjalan sepanjang laluan kecil atau memilih duduk di atas batu-batu besar di situ. Berbanding di bawah jambatan, kami menghabiskan masa hanya duduk di atas tembok sementara menunggu ikan memakan umpan,” ujarnya lagi.

Menurut Sobri lagi, sehingga kini dia masih gagal merungkai sejarah di sebalik nama Batu Pak Ngah atau juga dikenali sebagai Telok Air yang dikatakan mempunyai cerita tersendiri.

“Hanya orang lama atau nelayan yang berdekad turun ke kawasan itu sahaja yang tahu kisah tempat itu,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi pemancing yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 39, pula berkata, di lokasi berkenaan juga terdapat kelong Pak Long yang menjadi tarikan kumpulan pemancing tegar.

“Kami akan ke situ pada waktu pagi hingga petang dengan menaiki bot yang disewa dari Jeti Pak Long di Batu Uban. Lokasi berkenaan dianggap lebih selamat kerana terlindung daripada angin kencang.

“Tujuan kami ke situ hanya untuk memburu ikan siakap putih. Kami sanggup berhabis duit dengan menyewa bot pada setiap minggu semata-mata mahu mendapatkan siakap putih yang dijual di pasaran antara RM16 hingga RM20 sekilogram.

“Persinggahan ke situ memang membawa tuah buat kaki pancing, selain memberi pengalaman berharga apabila dapat membawa balik spesies ikan siakap dengan berat 6 hingga 8 kilogram,” jelasnya.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/04/09/siakap-putih-jadi-buruan-di-batu-pak-ngah/


Pages: [1]
View full version: Siakap putih jadi buruan di Batu Pak Ngah


ADVERTISEMENT