Raline Publish time 17-4-2022 01:45 PM

Molek FM makin laris

Molek FM makin laris

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/NAZRI_NORAN_1650165426.jpg
Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio, Nazri Noran. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Kuala Lumpur: Sejak dilancarkan Januari lalu, stesen Molek FM semakin meraih sambutan hangat pendengar dari Pantai Timur berikutan strategi pembaharuan tersendiri yang digunakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran, dia optimis stesen itu mampu menjadi nombor satu dalam tempoh lima tahun berdasarkan penambahbaikan yang berterusan.

"Kami cuba kekalkan dan gabungkan format stesen-stesen lain di sana untuk dijadikan panduan. Kami terlebih dahulu membuat kajian menyeluruh berhubung kehendak pendengar sebelum Molek FM dilaksanakan.

"Selain kepelbagaian jenis lagu diputarkan, kami tampilkan penyampai yang relevan serta mengadakan promosi 'on ground' untuk terus memikat pendengar. Alhamdulillah, sekarang ramai semakin kenal Molek FM.

"Pengikut di media sosial pun semakin bertambah. Bahkan, maklum balas kami terima daripada pendengar sangat memberangsangkan di mana rata-rata suka serta tahu corak pengisian kami," katanya.

Nazri berkata antara strategi penting yang disusun untuk Molek FM adalah dengan terus dekati cara hidup serta budaya masyarakat di pantai timur. Ini kerana penerimaan hiburan di sana agak berbeza.

"Kami putarkan lagu-lagu yang cukup disukai mereka termasuk dangdut, hindustan, Pop Thai, serta lagu mendayu-dayu. Konsep ini amat tepat kerana fokus kami memang untuk penduduk Kelantan dan Terengganu.

"Bukan sekadar hiburan, kami turut sajikan segmen keagamaan juga. Kami inginkan keseimbangan itu ada dengan tampilkan hiburan berbentuk ilmiah.

"Begitu juga aspek kebudayaan yang cukup dekat di hati penduduk di sana. Misalnya Dikir Barat yang menjadi hiburan terkenal di Pantai Timur selain seni Muay Thai," katanya.

Menggunakan cogan kata, Gu Pantai Timur, Nazri juga yakin faktor pemilihan penyampainya sangat penting.

"Saya gembira Molek FM juga berjaya menampilkan penyampai radio menarik. Percaturan kami menjadi apabila gandingan Fizie Roslan, Mek Zura, DJ Nazz dan Mat Dan menerima maklum balas positif," katanya.

Nazri ditemui pada majlis Iftar Hot FM dan Molek FM baru-baru ini.

Menurutnya penganjuran majlis itu cukup bermakna selepas sekian lama tidak mengadakan acara fizikal disebabkan kekangan pandemik.

"Kalau ikutkan, banyak agenda yang kami sudah susun dalam rangka perkukuh lagi dua stesen itu. Bagaimanapun segalanya terbantut awal tahun ini disebabkan kenaikan jumlah kes.

"Kini memasuki fasa endemik, kami berharap majlis ini menjadi pembuka jalan untuk banyak lagi acara lain. Ia termasuk konsert serta aktiviti lain yang ada dalam perancangan," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/2022/04/832921/molek-fm-makin-laris

Pages: [1]
View full version: Molek FM makin laris


ADVERTISEMENT