mattzzx Publish time 9-4-2022 02:00 PM

Lotus Emira V6 First Edition diprebiu di Malaysia

https://paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Ext-1_BM-630x320.jpg
Selepas membuat kemunculan sulung tahun lalu, model terakhir Lotus dengan enjin pembakaran dalaman iaitu Emira kini telah pun mendarat di Malaysia. Ia belum lagi dilancarkan di sini secara rasmi, tetapi beberapa unit telah dibawa ke sini oleh Lotus Cars Malaysia untuk ditunjukkan kepada pelanggan yang berminat.

Seperti yang kami laporkan pada November lalu, satu-satunya varian yang ditawarkan buat masa sekarang iaitu Emira V6 First Edition akan dijual di Malaysia pada harga RM1,131,800 untuk semenanjung Malaysia, dan juga RM456,900 tanpa-cukai di Langkawi.

Unit yang dipamerkan hari ini sebenarnya adalah unit pra-produksi sebenar berwarna kelabu yang dipandu oleh bekas juara Formula 1, Jenson Button di Litar Laguna Seca tahun lalu. Manakala unit pertama Emira First Edition yang telah pun dijual kepada pelanggan di Malaysia adalah berwarna biru sama seperti unit dalam imej studio di bawah.

https://paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Ext-3_BM-630x369.jpg
Berbanding generasi Elise dan Exige sebelum ini (telahpun dihentikan pengeluarannya) yang tampil ‘kosong’ dan hardcore kerana mementingkan aspek ringan untuk kelajuan, Emira adalah visi generasi baharu Lotus yang turut menawarkan ciri-ciri mewah dan mudah untuk dipandu setiap hari seperti Porsche Cayman – ini adalah sebab utama harganya mencecah RM1 juta.

Kereta sport generasi baharu ini diasaskan dari platform Lotus Sports Car Architecture (atau digelar sebagai Elemental oleh pihak dalaman Lotus), yang dihasilkan dengan struktur aluminium terekstrud seperti diperkenalkan pertama kali pada Elise. Ia menggunakan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan belakang, serta ditawarkan dalam dua jenis tetapan casis.

Tetapan casis pertama digelar Tour. Ia ditala untuk kegunaan seharian di atas jalan raya dan memberikan keseimbangan antara pengendalian dan juga keselesaan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Supersport. Manakala tetapan kedua digelar Sports, dengan suspensi sport bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2. Kedua-dua tetapan ini boleh dipilih oleh pembeli menerusi ciri opsyen Drivers Pack.

https://paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Int-1_BM-630x420.jpg
Ketika didedahkan tahun lalu, Lotus mengumumkan bahawa Emira akan dijana oleh dua pilihan enjin iaitu unit rangkaian kuasa V6 supercharger yang sama seperti pada Exige sebelum ini, dan juga enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (DCT).

Namun untuk model First Edition ini, ia hanya hadir dengan pilihan unit rangkaian pertama, atau secara spesifiknya adalah enjin Toyota 2GR-FE 3.5 liter V6 yang disuap dengan supercharger Edelbrock 1740 yang menghasilkan 405 PS (400 hp). Bagi model dengan kotak gear manual enam kelajuan, enjin ini menampilkan talaan tork 420 Nm. Manakala bagi pembeli yang memilih kotak gear automatik enam-kelajuan (dengan tambahan harga RM15,000), ia menerima talaan tork 430 Nm.

Kedua-dua kotak gear tersebut dihasilkan oleh Aisin, dan kedua-dua versi transmisi ini membolehkan Emira mencapai kelajuan maksima 288 km/j. Namun bagi pecutan 0-100 km/j, versi automatik adalah lebih pantas dengan catatan 4.2 saat berbanding 4.3 saat pada model manual.

https://paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Ext-32_BM-630x420.jpg
Dari segi kelengkapan pula, Lotus Emira 3.5 V6 First Edition ini hadir dengan rim aloi forged 20-inci 10-jejari rekaan-V, lampu hadapan dan belakang LED, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem pendingin hawa automatik, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan instrumen digital 12.3-inci serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, digandingkan dengan sistem bunyi KEF 340-watt.

Perincian-perincian lain yang turut diberikan pada model ini termasuk lampu suasana berwarna putih, pelapik bumbung Alcantara, roda stereng balutan kulit berwarna hitam dan juga tempat duduk hadapan larasan berkuasa 12-hala bersama fungsi memori (2 slot) yang turut dihubungkan kepada larasan cermin sisi dan cermin pandang belakang auto-malap.

Kereta sports terbaharu Lotus ini juga hadir dengan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terdiri dari cruise control adaptif, sistem anti-pelanggaran, amaran keletihan pemandu, informasi tanda jalan, pengehad kelajuan kenderaan, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan tukar lorong.

Tujuh warna tema dalaman yang boleh dipilih untuk Emira ini tanpa tambahan harga iaitu upholsteri kulit Nappa dalam kemasan merah, hitam, kelabu atau tan; atau Alcantara hitam dengan serlahan jahitan merah, kuning atau kelabu. Ia juga diberikan kemasan bendul dalam warna satin krom.

https://i0.wp.com/paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Int-13_BM.jpg?w=417&h=278&ssl=1 https://i0.wp.com/paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Int-15_BM.jpg?w=205&h=137&ssl=1 https://i0.wp.com/paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Int-30_BM.jpg?w=205&h=137&ssl=1

Model First Edition ini juga datang standard dengan Design Packs, terdiri dari perincian seperti cermin privasi, set pedal sport, pelapik bumbung Alcantara hitam serta pilihan warna hitam, merah, kuning atau perak untuk angkup brek, bersama pelapik kaki dengan logo Lotus.

Ia juga datang standard dengan Convenience Pack yang menampilkan perincian seperti penderia parkir hadapan, kamera undur, pengelap cermin hadapan automatik dengan bilah aero, cermin pandang belakang auto-malap dan juga jaring ruang storan di belakang.

Selain dari kotak gear automatik, pilihan lain yang turut memerlukan pembeli menambah kos pada Emira ini termasuk sistem pengesan kenderaan Scorpion berharga RM5,800 dan juga Black Pack berharga RM8,000 yang menampilkan kemasan hitam pada cantrail, penutup cermin sisi, logo Lotus pada bahagian belakang dan juga tip ekzos.

https://i0.wp.com/paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Ext-28_BM.jpg?w=417&h=278&ssl=1 https://i2.wp.com/paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Ext-14_BM.jpg?w=205&h=137&ssl=1 https://i0.wp.com/paultan.org/image/2022/04/2022_Lotus_Emira_Preview_Malaysia_Ext-19_BM.jpg?w=205&h=137&ssl=1
Lotus Cars Malaysia kini sudahpun menyediakan konfigurator secara atas talian bagi memudahkan anda menyemak sendiri harga Lotus Emira yang anda mahukan bersama pelbagai opsyen dan spesifikasi yang ditawarkan. Malah sekiranya anda mahu membeli dan menyimpan kereta ini di Langkawi, anda boleh bertanya terus kepada Lotus Cars Malaysia.

Unit yang diprebiu ini kini diletakkan di fasiliti Lotus Cars Malaysia yang terletak di 43, Jalan Astaka U8/84A, Bukit Jelutong, Shah Alam. Ia sememangnya dipamerkan untuk orang ramai bermula hujung minggu ini (9-10 April), namun anda perlu menempah slot terlebih dahulu dengan menghubungi Lotus Cars Malaysia di talian 016-6112388.

Menurut Lotus Cars Malaysia lagi, sehingga kini sejumlah 45 unit Lotus Emira telahpun ditempah untuk pasaran tempatan. Dari jumlah berkenaan 15 unit daripadanya adalah model dengan enjin V6 3.5, manakala 30 unit lagi adalah dari model dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo Mercedes-AMG.
Pages: [1]
View full version: Lotus Emira V6 First Edition diprebiu di Malaysia


ADVERTISEMENT