mattzzx Publish time 2-4-2022 01:40 PM

Toyota GR Corolla didedahkan – 1.6L Turbo

Edited by mattzzx at 2-4-2022 01:42 PM

https://paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00008-e1648783832295-630x341.jpg
Ini dia tuan-tuan dan puan-puan, satu lagi kereta sport Toyota dengan lencana GR penuh telahpun diperkenalkan iaitu Toyota GR Corolla! Model ini baru sahaja membuat penampilan sulungnya pagi ini di Long Beach, California, Amerika Syarikat, dengan dua pelumba Formula Drift iaitu Ryan Tuerck dan Ken Gushi memandu keluar GR Corolla berkenaan dengan membuat aksi ‘donut’ di atas pentas yang sempit, menunjukkan kebolehan sistem pacuan semua roda hot-hatch tersebut.

Khabar sebelum ini menyebut bahawa GR Corolla dihasilkan untuk dijual di pasaran Amerika Syarikat sebagai ganti kepada model homologasi istimewa Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu GR Yaris yang tidak dijual di sana. Namun ketika pendedahannya hari ini, GR Corolla diumumkan masih dibuat oleh fasiliti GR Factory di kilang Motomachi di Jepun, bersama GR Yaris, dan ia disahkan turut akan dibawa ke pasaran lain seluruh dunia!

Anda mungkin ada terbaca tentang spesifikasi GR Corolla sebelum ini – ya, ia masih dijana oleh enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo seperti GR Yaris. Namun berbanding unit paling berkuasa pada GR Yaris JDM yang menghasilkan ‘hanya’ 272 PS, enjin sama pada GR Corolla yang ditala semula ini berupaya untuk menjana 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm! Walau bagaimanapun kadar tork yang dibekalkan adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

https://paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00011-e1648783871855-630x364.jpg
Antara penambahbaikkan yang dibuat untuk mengekstrak kuasa lebih besar tersebut adalah dengan pemadanan sistem ekzos baharu. Secara mata kasar, sistem ekzos GR Corolla ini menampilkan tiga tip pada bampar belakang. Ia bukan sekadar gimik kerana sistem ekzos yang turut diberikan injap berkenaan dapat mengurang tekanan, sekaligus “memberikan pecutan yang luar biasa serta tambahan RPM yang lebih menyeronokkan”, dakwa Toyota.

Enjin berkenaan dipadankan hanya dengan kotak gear manual pintar (i-MT) enam-kelajuan, tanpa pilihan sebarang transmisi automatik. Kotak gear tersebut turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu.

Sama seperti GR Yaris, GR Corolla ini turut diberikan sistem pacuan semua roda GR-Four. Sistem tersebut menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

https://paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00034-630x420.jpg
Tiga mod utama sistem GR-Four ini masih sama seperti GR Yaris; “Normal” dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; “Sport” 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; “Track” 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

Namun apa yang berbeza, GR Corolla turut diberikan mod “4WD” yang mengawal agihan desakan pemanduan, dan mod “Drive” yang mengawal respon pendikit dan stereng serta lain-lain aspek yang telah diasingkan bagi membolehkan talaan dibuat lebih spesifik mengikut kemahuan pemandu dan keadaan pemanduan yang lain.

Bagi menghasilkan GR Corolla ini Toyota bukan sekadar menyumbat unit rangkaian kuasa lebih bertenaga dalam badan Corolla standard. Dibuat di dikilang GR Factory bermakna kerangka badan kereta tersebut adalah lebih tegar dari Corolla biasa bagi memberikan respon lebih baik kepada pemandu, dan ia dipasang seperti penghasilan sebuah kereta lumba.

https://paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00004-e1648783960142-630x323.jpg
GR Corolla ini juga menerima pendakap-pendakap tambahan pada badan, antaranya di bahagian tengah antara ruang roda kiri dan kanan sebelah belakang, terowong bawah badan dan juga di bawah lantai pada bahagian hadapan tangki minyak – kesemua ini bagi memberikan kestabilan pengendalian yang lebih baik.

Juga sama seperti GR Yaris, panel bumbung GR Corolla ini diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dengan proses kompaun acuan lembaran (SMC) yang membolehkan ia dihasilkan dengan rupa lebih bebas, serta menampilkan komponen yang lebih ringan dan lebih kuat.

Konfigurasi asal sistem suspensi GR Corolla ini kekal dengan topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, tetapi diolah semula bagi memberikan trek roda hadapan 60 mm lebih lebar dan trek roda belakang 85 mm lebih lebar berbanding Corolla Hatchback standard, membolehkan ia menawarkan prestasi di selekoh yang lebih baik – jadi fender hadapan 20 mm lebih lebar dan belakang 30 mm lebih lebar pada GR Corolla berbanding Corolla biasa ini bukan untuk kosmetik semata-mata.

https://paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00025-630x420.jpg
Selain itu, sistem suspensi GR Corolla ini juga diberikan set bushing jenis pillow ball, serta talaan terhadap penyerap hentak, spring serta jajaran roda yang dioptimakan bagi membolehkan tork dari sistem GR-Four diagih lebih baik terhadap permukaan jalan. Toyota juga telah menala sistem kawalan kestabilan ketika pemanduan sporty agar ia memberikan keyakinan dan keseronokan walaupun kereta ini dipandu sehingga ke hadnya.

Untuk memberhentikan kereta ini, GR Corolla dilengkapi dengan sistem brek menampilkan cakera bersaiz 18-inci bersama angkup empat omboh di hadapan, dan juga cakera 16-inci bersama angkup dua omboh di belakang. Kuasa dari sistem pacuan semua roda dialirkan ke permukaan tar menerusi tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 235/40R18 yang membaluti set rim aloi 18-inci 15-jejari dalam kemasan hitam berkilat.

Untuk rupa, seperti diberitahu tadi GR Corolla tampil dengan badan yang lebih lebar dari Corolla Hatchback biasa. Bampar hadapan pula diberi rekaan tipikal GR dengan liang udara utama yang lebih besar bagi memberikan aliran udara lebih baik tidak kira sama ada di litar, jalan raya dengan permukaan lasak, mahupun di atas permukaan salji.


https://i0.wp.com/paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00012.jpg?w=205&h=137&ssl=1https://i1.wp.com/paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00020.jpg?w=417&h=278&ssl=1

Liang udara yang besar turut diberikan pada fender, manakala fender belakang yang dilebarkan turut melibatkan panel tambahan pada pintu. Bampar belakang pula diolah semula bagi memberikan reflektor yang direka lebih tegak, bersama diffuser lebih agersif serta perumah untuk tiga tip ekzos yang bersaiz besar.

Manakala untuk kabin, ia masih menampilkan papan pemuka yang sama seperti Corolla Hatchback biasa, tetapi diberikan paparan instrumen digital TFT penuh yang dihasilkan khas untuk model GR, diinsprasikan dari kereta lumba serta mendapat input dari pelumba profesional. Ia juga diberikan tempat duduk GR yang lebih sporty.

Berbanding Corolla biasa yang diberikan brek parkir elektronik, GR Corolla ini hanya diberikan brek parkir manual yang menggunakan tuil tradisional. Downgrade? Tidak, kerana brek parkir manual ini sangat diperlukan dalam pemanduan prestasi khususnya ketika beraksi dalam litar gymkhana dan rali, serta untuk memulakan aksi drift.


https://i2.wp.com/paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00022.jpg?w=205&h=137&ssl=1https://i0.wp.com/paultan.org/image/2022/04/Toyota-GR-Corolla-2023_BM_00023.jpg?w=417&h=278&ssl=1
Manakala untuk keselamatan, GR Corolla ini hadir standard dengan sistem bantuan Toyota Safety Sense. Walau bagaimanapun, perincian berkenaan apa fungsi yang diberikan dalam pakej tersebut belum diberitahu secara spesifik.

Di Amerika Syarikat GR Corolla turut ditawarkan dalam versi Track Edition. Model ini diberikan penambahan liang udara pada bonet hadapan, spoiler belakang lebih besar serta tombol gear yang menampilkan tandatangan “Morizo”, iaitu presiden Toyota, Akio Toyoda (Morizo adalah nama samaran Toyoda ketika berlumba).

Model asas GR Corolla Core akan mula dijual di Amerika Syarikat lewat tahun ini, sementara Track Edition pula akan dijual di sana bermula 2023. GR Corolla juga disahkan akan mula dijual di Jepun pada separa kedua tahun ini, sementara jualannya di pasaran-pasaran lain seluruh dunia akan diumumkan kemudian.

Kita di Malaysia sudahpun mempunyai jaringan pengedar GR Garage yang menjual GR Supra dan GR Yaris, serta GR86 tidak lama lagi. Tak mustahil Toyota GR Corolla ini turut akan dibawa ke Malaysia pada masa akan datang bukan?
Pages: [1]
View full version: Toyota GR Corolla didedahkan – 1.6L Turbo


ADVERTISEMENT