Raline Publish time 31-3-2022 04:04 PM

Elak jerat cinta di laman sosial

Elak jerat cinta di laman sosial

https://assets.bharian.com.my/images/articles/lovescam_1648520574.jpg
KUALA LUMPUR: Meletakkan maklumat peribadi di profil akaun laman sosial media antara punca wanita mudah menjadi mangsa penipuan cinta atau 'love scam'.

Ketua Pematuhan Asia Pasifik (APAC), Genevieve Noakes, berkata tidak salah jika menggunakan sosial media untuk bersosial tetapi maklumat peribadi seperti nama penuh, warganegara, tarikh lahir atau nombor telefon tidak sepatutnya diletakkan di profil.

Katanya, berdasarkan maklumat itu akan memudahkan penipu menjadikan seseorang itu sebagai mangsa mereka.

"Maklumat seperti taraf kewarganeraan paling tidak boleh diletakkan di akaun profil di media sosial kerana ia menjadi sasaran utama penipu cinta kerana mereka akan melihat bakal mangsa dari negara mana sebelum memulakan agenda penipuan.
"Jika penipu mula bertanyakan mengenai kewangan termasuk meminta duit dengan alasan tertentu termasuk untuk modal perniagaan atau pelaburan, itu ada petunjuk mereka menjadi perangkap cinta," katanya.

Genevieve berkata, kebanyakan penipuan cinta di laman sosial, justeru orang ramai terutama wanita sedang mencari cinta, perlu lebih berhati-hati menggunakan medium itu.

Aktiviti penipuan cinta tidak semestinya bermula daripada penipu itu, ada kes bermula daripada wanita terlebih dahulu kerana dikatakan terdesak mencari cinta.

"Penipu pula akan berpura-pura jatuh cinta terhadap mangsa dan mula bertanyakan banyak maklumat daripada mangsa tanpa disedari.

"Selepas mangsa terjatuh cinta, dengan mudah mereka akan tunduk kepada apa yang diminta termasuk duit kerana tidak menyangka mereka sedang ditipu," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus penduduk di Malaysia menggunakan internet dalam kehidupan seharian termasuk untuk bekerja, menjana pendapatan dan bersosial.

Justeru, penggunaan internet yang meluas membuka peluang kepada penipuan cinta untuk mengambil kesempatan terutama wanita sedang mencari teman hidup.

Katanya, penipu akan mencari seberapa banyak peluang untuk mendapatkan mangsa dan platform paling mudah menerusi cara ini.

"Untuk terjatuh cinta menerusi di laman sosial bergantung kepada individu sendiri sama ada mudah tertarik atau sebaliknya.

"Ada individu mudah tertarik hanya melalui laman sosial apabila lelaki berkenaan menunjukkan sesuatu yang diminatinya walaupun hakikatnya ia tidak benar.

"Penipu tidak memilih usia dan latar belakang mangsa tetapi cuma mencari peluang untuk mewujudkan satu hubungan seterusnya mensasarkan mereka sebagai mangsa," katanya.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhscam29_1648520579.jpg
Genevieve Noakes


Justeru, sesiapa menggunakan sosial media elakkan menulis maklumat peribadi di profil akaun mereka kerana ia tersangat bahaya.

Katanya, wanita perlu bijak dalam menggunakan platform itu, meskipun ia antara boleh membantu untuk mendapatkan pasangan, namun perlu lebih berhati-hati.

"Tidak salah mencari cinta di sosial media, tetapi siasat terlebih dahulu latar belakang pasangan sebelum memulakan komitmen cinta.

"Sentiasa ada perasaan curiga dengan lelaki yang baharu dikenali, putuskan hubungan dengan cepat bagi mengelak perkara tidak diingini," katanya.

Genevieve berkata, jika wanita mempunyai kesedaran itu isu penipuan cinta atau ada kalangan ahli keluarga dan rakan sekeliling sedang berhubungan dengan individu baru dikenali di laman sosial, mereka perlu menegur.

"Kita boleh membantu keluarga dan rakan mereka untuk fahamkan apa yang bahaya dalam hubungan yang tidak pasti.

"Ini sekali gus boleh membantu dalam usaha membanteras jenayah penipuan cinta dalam kalangan wanita," katanya.

Kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati trend kes penipuan cinta di negara ini menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Dilaporkan sebanyak 1,535 kes penipuan cinta dilaporkan pada 2019 membabitkan kerugian sebanyak RM79.11 juta.

Pada tahun 2020, jumlah kes meningkat sebanyak 47 kes kepada 1,582 kes dengan jumlah kerugian RM58.33 juta, manakala empat bulan pertama tahun lalu, sebanyak 549 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM20.58 juta.

Berbanding tempoh sama tahun 2020, jumlah kes dicatatkan untuk 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 87 kes.

Sumber:https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2022/03/939761/elak-jerat-cinta-di-laman-sosial

Pages: [1]
View full version: Elak jerat cinta di laman sosial


ADVERTISEMENT