Raline Publish time 31-3-2022 09:38 AM

Memahami definisi Tajsim

Memahami definisi Tajsim

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Copy_Of_ADDIN071_HMfield_image_listing_featured_v2.var_1648681226.jpg
GAMBAR hiasan. FOTO AFP

Memandangkan lafaz Tajsim berasal daripada bahasa Arab maka pengertiannya perlu dinilai daripada dua sudut iaitu sudut bahasa dan istilah.

Daripada sudut bahasa: Lafaz Tajsim dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan jisim. Jisim dalam bahasa Arab bererti sesuatu yang tercantum oleh dua bahagian atau lebih iaitu sesuatu yang mempunyai cantuman dua jauhar (benda) atau lebih.

Jauhar pula sesuatu yang mengambil ruang atau tempat. Maknanya, ia mempunyai had, batasan, ukuran dan bentuk. Perlu diketahui jisim mempunyai pengertian yang hampir sama dengan jirim, jasad, jauhar dan lain-lain. Bagaimanapun jika dinilai secara terperinci ketiga-tiga perkataan tersebut mempunyai makna berbeza.

Syeikh Al-Lughowi Fairuz Abadi berkata: "Jasad adalah jisim insan, jin, malaikat dan lain-lain." (Al-Qomus Al-Muhith)

Dalam Mukhtar As-Sihah ada disebut tentang perkataan "Jasad: Jasad iaitu badan. Dikatakan sesuatu itu berjasad samalah juga mengatakan sesuatu itu berjisim."

Dalam kitab yang sama, ketika mensyarahkan perkataan jisim Imam al-Razi mengatakan jisim adalah jasad.

Dalam Lisanul-Arab, perkataan jasad disebut: "Jasad: Jisim manusia."

Menurut ulama al-Asya'irah: "Jisim ialah sesuatu yang mengisi ruang yang boleh dibahagikan walaupun dari satu sudut." (Hasyiyah Al-'Athor 'ala Maqulat Al-Balidi m/s 117)

Imam As-Syarif Al-Jurjani berkata: "Jisim menurut bahasa ialah sesuatu yang mengandungi At-Tarkib (susunan) dan At-Talif (cantuman)." (Syarh Al-Mawaqif: 2/192)

Syeikh Solahuddin Al-Idlibi berkata dalam kitab Aqa'id Al-Asya'irah (m/s 91): "Jauhar ialah sesuatu yang mengisi ruang (mengambil ruang) yang mana ia mempunyai saiz (ukuran) dan mengambil ruang mengikut saiznya. Al-'Ardh ialah suatu makna yang berada pada jauhar (iaitu sifat). Jisim ialah cantuman antara beberapa jauhar." (rujuk juga kitab Al-Mu'tamad m/s 35 dan 36 oleh Syeikhul Hanabilah Al-Qadhi Abu Ya'la)

Syeikh Sa'id Fudah menyimpulkan dengan berkata: "Kebanyakan perkataan menurut ulama ialah jisim itu suatu yang mengisi ruang dan suatu yang tersusun (tercantum)." (Al-Kasyif As-Shoghir m/s 126)

Daripada sudut Istilah: Fahaman Tajsim ialah fahaman yang menjisimkan Allah SWT dengan menetapkan at-Tarkib atau cantuman tertentu bagi Dzat Allah SWT.

Pernyataan ini mengunjurkan kelaziman sesuatu jisim seperti berbentuk, beranggota, bertubuh, bergerak-gerak, bertempat, berbatas dan lain-lain yang kesemuanya adalah kelaziman sesuatu jisim.

Seseorang boleh dikatakan berfahaman Tajsim apabila dia percaya Allah SWT itu suatu jisim atau dia menetapkan kelaziman jisim walaupun tidak menyebutnya sebagai jisim.

Dengan demikian, dia telah menetapkan cantuman atau keanggotaan bagi zat Allah SWT. Yakni menetapkan bentuk, tubuh, ukuran, batasan, tempat dan pergerakan bagi zat-Nya. Sedangkan Maha Suci Allah SWT dari semua unsur berkenaan.

Fahaman Tajsim adalah sebahagian daripada tasybih (menyerupakan Allah SWT dengan makhluk) kerana ia menyamakan zat Allah SWT dengan makhluk dari sudut kejisiman makhluk itu sendiri.

Walaupun sebahagian pelopor Mujassimah mengaku menolak Tasybih, namun mereka sekadar menolak Tasybih Taamm iaitu menyamakan Allah SWT secara menyeluruh.Al-Irsyad Imam Al-Haramain, m/s 23, Al-Isyarah karangan Imam Al-Syirazi: Bab Allah Laisa Bijismin dan Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi m/s 30.

Sedangkan mereka tidak menolak konsep Tasybih Juz'ie iaitu menyamakan satu sudut sifat Allah SWT dengan sifat makhluk.

Mereka mendakwa Tajsim bukanlah Tasybih. Sebaliknya mereka hanya menetapkan (isbat) apa yang ditetapkan oleh Allah SWT. Padahal tidak pernah wujud dalil sama sekali seseorang itu wajib menetapkan makna zahir bagi nas mutasyabihat sehingga membawa maksud kejisiman bagi Allah SWT.

Sebaliknya terdapat dalil yang jelas melarang seseorang menetapkan makna zahir bagi nas Mutasyabihat sebagaimana yang terdapat dalam Surah ali-Imran ayat 7 bermaksud: "Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu mengandungi ayat 'Muhkamaat' (yang tetap, tegas dan nyata maksudnya); ayat Muhkamaat itu ialah induk (atau pokok) al-Quran. Dan yang lain adalah ayat 'Mutasyabihat' (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksud menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: "Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami". Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir."

Ayat ini menjelaskan wujudnya takwil (makna lain) bagi nas mutasyabihat. Ia membuktikan bahawa kita tidak boleh memahami nas mutasyabihat dengan makna zahir atau dengan maknanya dari sudut bahasa (ma'na lughowi). Ini kerana ada makna lain yang dimaksudkan oleh Allah SWT daripada nas-nas mutasyabihat. Pengambilan makna zahir bagi nas mutasyabihat bererti menafikan kewujudan takwil (makna lain) yang ditetapkan oleh Allah SWT bagi nas mutasyabihat tersebut.

Manakala Jisim pula pada hakikatnya merupakan sifat khusus bagi makhluk Allah SWT.

Ini kerana jirim atau jisim mempunyai ciri-ciri seperti beranggota (tercantum dari beberapa bahagian), berbentuk, berukuran, mempunyai batasan, bertempat dan lain-lain. Ia adalah ciri-ciri makhluk yang terbatas sedangkan kewujudan Allah SWT terlepas daripada ciri-ciri keterbatasan makhluk.

Sesiapa yang mendakwa bahawa Allah SWT itu berjisim atau menetapkan mana-mana kelaziman jisim bagi Allah bererti dia telah menganut fahaman Tajsim dan menyimpang daripada akidah Islam yang murni.

Tamsil, Tasybih dan Tajsim

Seseorang yang ingin mendalami permasalahan Tajsim perlu tahu perbezaan antara Tamsil, Tasybih dan Tajsim daripada sudut penggunaannya dalam lapangan akidah.

Tasybih ialah menyamakan Allah SWT dengan makhluk sama ada daripada satu sudut daripada sudut penyerupaan dengan makhluk ataupun daripada semua (segenap) sudut persamaan. Adapun menyerupakan Allah SWT dengan makhluk daripada segenap sudut sifat-sifat makhluk dikenali sebagai Tasybih Tamm. Manakala menyamakan Allah SWT dengan makhluk daripada sebahagian sifat makhluk dikenali sebagai Tasybih Juz'ie.

Tamsil ialah menyamakan secara keseluruhan sifat-sifat Allah SWT dengan sifat-sifat makhluk. Boleh dikatakan Tamsil adalah Tasybih Tamm.

Tajsim mempercayai Allah SWT memiliki anggota badan. Ia salah satu daripada jenis Tasybih Juz'ie.

Kekadang seseorang itu menafikan Tasybih Tamm tetapi tidak menafikan Tasybih Juz'ie.

Contoh Tasybih Tamm atau Tamsil ialah seseorang berkata bahawa Allah SWT itu berjisim seperti jisim-jisim makhluk. Ini suatu contoh penyerupaan terhadap zat Allah SWT dengan jisim makhluk. Nauzubillah!

Adapun contoh Tasybih Juz'ie ialah seseorang berkata Allah SWT itu berjisim tetapi bukan seperti jisim makhluk. Atau seseorang berkata: Allah SWT mempunyai tangan yang merupakan satu anggota daripada zat Allah SWT tetapi tangan-Nya tidak seperti tangan makhluk.Kenyataan ini memanifestasikan penyamaan Allah SWT dengan salah satu daripada anggota badan makhluk. Ia Tasybih Juz'ie yang sering berlegar di lidah Musyabbihah, Mujassimah, Hasyawiyah dan golongan menyeleweng.

Imam Fakhruddin al-Razi berkata: "Jikalau Allah SWT itu (dikatakan) berjisim maka semestinya Dia akan menyerupai hakikat jisim-jisim yang lain secara menyeluruh, maka jika begitu ia (Tajsim) juga adalah tasybih (menyerupakan Allah SWT dengan makhluk)." (Asas At-Taqdis m/s 141)

Maksud perkataan Al-Imam al-Razi di atas ialah jika seseorang itu mendakwa bahawa Allah SWT berjisim, maka secara tidak langsung dia menetapkan Allah SWT menyerupai kelaziman makhluk itu sendiri seperti bertempat, mempunyai rupa bentuk, batasan dan lain-lain.

Sebahagian ulama al-Asya'irah menjelaskan Tajsim adalah salah satu daripada kompenan Tasybih tetapi ada perinciannya. Jika Tajsim itu Tajsim shorih (Tajsim yang jelas) seperti seseorang berkata: "Jisim Allah SWT itu sama dengan jisim-jisim makhluk" maka ia juga termasuk dalam Tasybih Taam dan Tamsil kerana menyamakan zat dan sifat Allah SWT dengan zat dan sifat makhluk secara menyeluruh.

Adapun Tajsim Ghair Shorih (Tajsim yang tidak jelas) seperti seseorang menetapkan salah satu atau sebahagian kelaziman jisim seperti menetapkan sudut bagi Allah SWT atau menetapkan 'tempat' bagi Allah SWT tanpa menetapkan perkataan jisim bagi Allah SWT maka ia dikira Tasybih Juz'ie (cabang tasybih).

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2022/03/826819/memahami-definisi-tajsim

Pages: [1]
View full version: Memahami definisi Tajsim


ADVERTISEMENT