mattzzx Publish time 27-3-2022 04:57 PM

Isu konsultan minta RM4 juta: ADUN Kota Siputeh jumpa SPRM

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/03/27/1641674.jpg
(Dari kiri) Mohd Asmirul, Dr Salmee dan Nashitah ketika hadir ke pejabat SPRM Kedah pada Ahad.

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi mendapatkan pandangan berkaitan isu konsultan didakwa meminta wang RM4 juta bagi pembinaan asrama sebuah universiti di Kuala Ketil.

Ia bagi membersihkan nama baik beliau yang didakwa membuat fitnah berkaitan isu terbabit ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.

Dr Salmee berkata, perbincangan juga sedang dibuat oleh barisan peguam untuk mengambil tindakan bersesuaian terhadap ‘cyber trooper’ dan mana-mana pihak yang menjejaskan reputasi beliau selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoal kewajaran beliau mendedahkan isu terbabit.

“Saya hadir ke SPRM atas kerelaan sendiri untuk minta pandangan SPRM dan dimaklumkan, kontraktor berkenaan telah membuat aduan berkaitan isu sama kepada SPRM.

“SPRM turut memberikan pandangan mereka berkaitan isu terbabit. Kesemua perkara itu akan diambil kira bagi tindakan susulan untuk membersihkan nama saya yang terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir ke pejabat SPRM Kedah, di sini pada Ahad.

Hadir sama, ADUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris dan wakil barisan peguam, Nashitah Kassim.

Mengulas lanjut, Dr Salmee berkata, kontraktor berkenaan menghubungi dirinya sebulan lalu bagi memaklumkan isu tersebut dan terbaharu meminta beliau membangkitkan perkara itu pada persidangan DUN kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan integriti.

“Kejadian didakwa berlaku pada tahun 2020, ketika itu tender belum dibuka cuma diuar-uarkan akan dibina asrama untuk 2,000 pelajar.

“Difahamkan beberapa syarikat mohon untuk bentangkan kertas kerja namun apabila hadir perlu berjumpa konsultan bagi membincangkan yuran, diminta bayar RM3 juta dan selebihnya selepas kemajuan projek.

"Saya tahu projek bernilai RM60 juta itu tentunya pemaju perlu bayar tujuh peratus daripada keseluruhan jumlah, namun wujud prasangka dalam pelaksanaannya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau hanya memohon Muhammad Sanusi memberikan penjelasan berhubung perkara yang dibangkitkan, namun diherdik dan dituduh memfitnah.

“Saya minta perjelas isu itu, kenapa pula Menteri Besar marahkan saya hanya kerana saya minta jawapan kepada persoalan saya.

“Seolah saya buat fitnah dalam DUN, saya bukan fitnah. Perkara itu telah tersebar dan menjejaskan nama baik saya. Saya nasihatkan Muhammad Sanusi agar berikan penjelasan dengan baik,” katanya.

Sementara, Nashitah memaklumkan, pihaknya sedang meneliti sama ada kes berkenaan wujud prima facie untuk tindakan selanjutnya.

“Kita sedang teliti sama ada perlu bawa kes ke mahkamah atau sebaliknya. Kita akan teruskan sekiranya ada prima facie.

“ADUN berhak bertanya dalam DUN kerana itu adalah platform rasmi untuk bangkitkan isu kepentingan rakyat,” katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi meminta Dr Salmee membuat laporan kepada SPRM dan mengemukakan bukti berkaitan dakwaan konsultan sebuah universiti di negeri ini meminta wang RM4 juta bagi pembinaan asrama.

Dalam pada itu, pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) pada Jumaat menafikan terdapat konsultan yang meminta daripada pihak-pihak yang mengemukakan cadangan untuk membina asrama di UniSHAMS sebanyak RM4 juta.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Naib Canselor UniSHAMS, pihak pengurusan memandang serius isu tersebut dan berdasarkan justifikasi yang telah diberikan, ia dianggap sangat tidak berasas.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/194936/EDISI/Isu-konsultan-minta-RM4-juta-ADUN-Kota-Siputeh-jumpa-SPRM
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Pages: [1]
View full version: Isu konsultan minta RM4 juta: ADUN Kota Siputeh jumpa SPRM


ADVERTISEMENT