mattzzx Publish time 27-3-2022 02:16 PM

Kedah benar solat tanpa penjarakan mulai 1 April

Alor Setar: Bermula Jumaat ini, semua masjid dan surau di Kedah dibenar menunaikan solat Jumaat dan Tarawih selain solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal.

Ia selaras fasa peralihan ke endemik yang berkuat kuasa di seluruh negara pada tarikh sama.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Ketua Agama Islam Negeri memberi perkenan untuk pelaksanaan solat tanpa penjarakan itu.

Katanya, turut dibenarkan adalah solat jenazah, namun penjarakan fizikal masih diwajibkan bagi aktiviti mengimarahkan masjid yang lain.

"Antaranya, majlis berbuka puasa, sahur dan moreh perlu dilaksana dengan penjarakan fizikal, manakala makanan digalak untuk disediakan secara bungkus, selain program Ihya Ramadan seperti kuliah dan lain-lain.

"Selain itu, majlis qiamullail dan iktikaf dibenar diadakan dengan SOP yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, bagi pengurusan jenazah bukan Covid-19, ia perlu dilaksana mengutamakan langkah pencegahan wabak ditetapkan, manakala aktiviti ziarah kubur tidak boleh membabitkan perkumpulan yang sesak.

Katanya, khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian di masjid dan surau dibenarkan dengan pematuhan SOP, begitu juga majlis akad nikah di masjid.

"Mereka yang hadir perlu memastikan penjarakan minimum selain tidak mempunyai gejala Covid-19," katanya.
Pages: [1]
View full version: Kedah benar solat tanpa penjarakan mulai 1 April


ADVERTISEMENT