mattzzx Publish time 27-3-2022 12:38 PM

Pulau Pinang komited ‘hijaukan’ hotspot dadah

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/hotspot-dadah.jpg
CHOW KON YEOW menyerahkan jaket Skuad Prihatin AADK kepada wakil komuniti setempat sambil diperhatikan oleh Sutekno Ahmad Belon (dua dari kiri) di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, malam tadi.

   
BUKIT MERTAJAM: Kejayaan ‘menghijaukan’ semula Mukim 21 dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini daripada terus dilabel hotspot penagihan dadah di Pulau Pinang membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain Mukim 21, tiga lagi kawasan panas yang turut dikenal pasti di SPT di bawah Inisiatif Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penagihan Dadah melibatkan Mukim 16; Mukim 19 serta Mukim 20 yang disasarkan untuk ‘dihijaukan’ tahun ini.

Katanya, turut tersenarai di bawah Inisiatif Penghijauan KBT itu ialah Mukim 1 dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Mukim 12 serta Mukim 13 masing-masing dalam daerah Barat Daya dan Timur Laut.

“Sebagai tanda komitmen (menangani isu dadah), kerajaan negeri menetapkan Fokus 5 Tahun di bawah Strategi Penang Lawan Ancaman Dadah (PLAD) menerusi AADK Pulau Pinang ke arah merealisasikan Matlamat Dadah Terkawal 2025.

“Selain memperuntukkan sebanyak RM12,850 untuk Kempen Antidadah di kesemua tujuh KBT tersebut sejak tahun lepas, sebanyak RM318,000 diperuntukkan melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) bagi tujuan sama,” katanya ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Tahun dan Jerayawara peringkat negeri di sini, malam tadi.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon dan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan KeselamatanMakanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin.

Mukim 21 menjadi Projek Rintis bagi Menangani Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Pelancongan Sosial di bawah Inisiatif Penghijauan KBT Penagihan Dadah itu sejak September 2019 dan projek sama dilaksanakan secara berperingkat di enam kawasan lain yang dikenal pasti selepas ini.

Sementara itu, Sutekno memuji kejayaan kerajaan negeri ‘menghijaukan’ semula Mukim 21 daripada terus dikenali sebagai lokasi tumpuan aktiviti penagihan dadah di Pulau Pinang ketika ini.

“Penetapan status hijau itu dibuat melalui penilaian akhir iaitu antara Oktober hingga Disember lalu berdasarkan beberapa indikator dan dalam hal ini, Mukim 21 berjaya mencapai kesemua indikator ditetapkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan kata Sutekno, pihaknya juga berharap seramai 8,185 penagih yang dikesan dan dirawat di negeri ini tahun lepas dapat dikurangkan jumlahnya tahun ini. – UTUSAN
Pages: [1]
View full version: Pulau Pinang komited ‘hijaukan’ hotspot dadah


ADVERTISEMENT