mattzzx Publish time 27-3-2022 12:36 PM

Pegawai tinggi, kanan perlu sentiasa turun padang hayati permasalahan rakyat

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/ksu-rm.jpg
MOHD. Zuki Ali (kanan) mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada program kayuhan MAIPs peduli menjejaki dan menyantuni asnaf di sekitar Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Seberang Ramai Kuala Perlis hari ini.


KANGAR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali menyeru pegawai tinggi dan kanan penjawat awam supaya sentiasa turun padang bagi menghayati permasalahan rakyat.

Katanya, mereka perlu mengambil contoh sebagaimana Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turun padang sendiri menghayati denyut nadi rakyat dan lebih banyak bercampur dengan masyarakat untuk memperkasa komuniti.

Pada masa sama, beliau menzahirkan rasa kagum dan teruja dengan Tuanku Syed Faizuddin atas sikap merendah diri dan sentiasa menyantuni rakyat.

Katanya, baginda meletak tepi protokol untuk melihat dan membantu rakyat.

“Penjawat awam bukan hanya bertugas di pejabat semata-mata untuk berbincang dan meluluskan projek pembangunan tetapi perlu lebih peka dengan melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan.

“Mereka perlu menghidupkan suasana selesa antara masyarakat dengan penjawat awam,” katanya selepas mengiringi baginda pada program kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf di sekitar Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Seberang Ramai Kuala Perlis, hari ini.

Yang turut serta dalam kayuhan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Rakon; Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Seri Dr Yusof Ismail dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) JPM, Datuk Mohammad Ismail.

Mohd. Zuki turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di atas segala inisiatif dan usaha menjayakan projek transformasi Diraja tersebut bersama-sama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat melepaskan seramai kira-kira 800 peserta Fun Ride sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri ini di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar.

Baginda turut berkenan menerima persembahan mock cek bagi mewakili YTSP Perlis daripada K TWO Berjaya Resources sebanyak RM20,000, Yayasan Vantage Five (RM20,000) dan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) (RM10,000) untuk terus menjayakan projek di Kampung Seberang Ramai tersebut. – UTUSAN


Pages: [1]
View full version: Pegawai tinggi, kanan perlu sentiasa turun padang hayati permasalahan rakyat


ADVERTISEMENT