mattzzx Publish time 27-3-2022 10:03 AM

Pelancong teruja lihat polis ronda berpakaian seragam lama

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/03/27/1641155.jpg
Orang ramai yang mengunjungi tempat tumpuan pelancong di Lebuh Armenian di sini hari ini, kebanyakannya teruja dengan kehadiran anggota polis yang memperagakan pakaian seragam lama sempena sambutan Hari Polis ke-215 yang diraikan pada Jumaat. Foto: Bernama

GEORGETOWN - Kelibat beberapa anggota polis menjalankan rondaan memakai pakaian seragam yang pernah digunakan satu ketika dahulu menarik perhatian pelancong di kawasan yang selalu menjadi tumpuan orang ramai, iaitu di Lebuh Armenian dan Lebuh Pantai, di sini pada Sabtu.

Pelancong yang berada di kawasan itu bukan sahaja teruja melihat pasukan polis dengan pakaian seragam lama itu, malah ada yang cuba mendekati pihak polis tersebut dan meminta untuk bergambar sebagai kenangan mereka.

Difahamkan anggota polis yang menjalankan rondaan itu, memakai pakai seragam polis yang pernah digunakan sejak awal penubuhan pasukan keselamatan itu hingga tahun 1948.

Seorang pelancong Rashidah Mohamed, 58, dari Johor Bahru berkata, beliau terkejut dan teruja, dengan kehadiran pasukan polis berpakaian seragam lama di Lebuh Armenian hari ini, kerana itu pertama kali beliau dapat melihatnya.

"Tiba-tiba nampak polis, eh betul ke polis tu, kenapa cantik sangat pakaian mereka dan lain, saya memang teruja sangat-sangat bila nampak anggota polis dengan pakaian seragam lama di sini, kebetulan masa itu saya tengah ambil gambar di kawasan Lebuh Armenian, yang memang menjadi tumpuan pelancong di sini.

"Saya terus ambil gambar anggota-anggota polis yang buat rondaan itu, dan mendekati mereka untuk bergambar sebagai kenangan, polis-polis tersebut sangat baik layan pelancong di sini. Kami turut mengucapkan selamat bertugas dan Selamat Hari Polis ke-215 kepada mereka,” katanya yang datang bercuti di Pulau Pinang bersama keluarga.

Seorang lagi pelancong Zulkiflee Yusof, 52, dari Melaka pula berkata, pendekatan polis Pulau Pinang dengan memperkenalkan pakaian seragam lama pasukan di khalayak ramai harus dipuji, kerana ia secara tidak langsung dapat memberi pengetahuan kepada orang ramai, terutama generasi muda sekarang ini.

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/03/27/1641156.jpg
Kebanyakan pelancong teruja dengan kehadiran anggota polis yang memperagakan pakaian seragam lama sempena sambutan Hari Polis ke-215. Foto: Bernama

"Boleh katakan semua pelancong yang berada di kawasan Lebuh Armenian berhenti menjalankan aktiviti, terutama mereka yang sedang bergambar kerana masing-masing mahu melihat anggota polis yang berpakaian seragam lama tersebut.

"Pakaian seragam mereka menarik dan saya sendiri teruja melihatnya, bagus pendekatan ini, ini dapat bantu generasi muda kenal pakaian polis dulu-dulu, ia sangat memberi manfaat kepada orang ramai.

"Mungkin pendekatan rondaan polis dengan pakaian seragam lama dapat dibuat lebih kerap, paling tidak pun sebulan sekali atau setiap setahun ketika sambutan Hari Polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi Bernama berkata, anggotanya membuat rondaan memakai pakaian seragam lama polis semenjak 1807 itu, dibuat sempena sambutan Hari Polis ke-215 yang disambut semalam.

Katanya, rondaan yang dijalankan bersama Unit Polis Pelancong itu dibuat hari ini dan esok, di beberapa kawasan tumpuan pengunjung antaranya Lebuh Armenian dan Lebuh Pantai, antara lain bagi memberikan nostalgia kepada orang ramai.

"Selain itu, rondaan oleh anggota polis dengan pakaian seragam lama tersebut juga dapat memperkenalkan uniform, yang pernah dipakai oleh pasukan keselamatan kita dari dulu hingga sekarang,” katanya. - Bernama


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/194880/EDISI/Pelancong-teruja-lihat-polis-ronda-berpakaian-seragam-lama
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Pages: [1]
View full version: Pelancong teruja lihat polis ronda berpakaian seragam lama


ADVERTISEMENT