sfhzuraz Publish time 25-3-2022 05:23 PM

108 kes pemerasan dalam talian libat gambar bogel di Pulau Pinang

108 kes pemerasan dalam talian libat gambar bogel di Pulau Pinang


SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 25 Mac 2022


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/03/25/1639703.jpeg
Mohd Shuhaily


GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menerima laporan 108 kes pemerasan dalam talian melibatkan penyebaran gambar bogel dengan jumlah kerugian RM589,685 sejak 2020 hingga tahun ini.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, daripada jumlah kes itu, seramai 39 individu ditahan yang kesemuanya lelaki dan berusia lingkungan 13 hingga 64 tahun.


Menurutnya, sejak 2020 sehingga Februari tahun ini, 15 kes berjaya diselesaikan.


"Statistik pada tahun 2020, jumlah kes adalah 17 melibatkan kerugian RM76,300 yang mana, lapan telah ditangkap dan kita berjaya menyelesaikan enam kes.


"Bagaimanapun, pada tahun lalu, kes meningkat drastik dengan 80 kes melibatkan kerugian RM404,335, 30 orang ditahan dan lapan kes berjaya diselesaikan.


"Bagi tahun ini, dari Januari hingga Februari, sebanyak 11 kes direkodkan melibatkan RM109,050, dengan satu tangkapan dan satu kes berjaya diselesaikan," katanya pada sidang media pada Jumaat.


Sebelum itu, Mohd Shuhaily melancarkan Majlis Sambutan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Soft Launching Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride di sini.


Mohd Shuhaily berkata, kes pemerasan dalam talian melibatkan gambar bogel diklasifikasikan sebagai kes serius berikutan berlaku satu kes bunuh diri pada tahun lalu selepas mangsa hidup dalam tekanan apabila sering diugut.


"Ia boleh menyumbang kepada pemasalahan lain seperti bunuh diri berikutan ia melibatkan maruah mangsa serta jumlah wang yang besar.


"Saya berharap ibu bapa memantau anak-anak mereka supaya tidak terlibat dalam jenayah siber ini. Selain itu, jangan sesekali menggunakan media sosial untuk berkenalan dengan individu yang tidak pernah berjumpa secara fizikal," katanya.


Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, jumlah keseluruhan jenayah indeks Kontinjen Pulau Pinang melibatkan jenayah kekerasan dan harta benda bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini adalah 614 kes manakala nilai ambang bagi tempoh yang sama adalah 989 kes.


"Ini menunjukkan penurunan kes jenayah indeks adalah sebanyak 375 kes bersamaan 37.9 peratus berbanding nilai ambang.


"Bagi jenayah kekerasan pula, kita merekodkan 139 kes yang mana, ia juga menunjukkan penurunan sebanyak 101 kes (42.2 peratus) berbanding nilai ambang," katanya.


Katanya, sementara itu, bagi jenayah harta benda, 475 kes direkodkan dengan penurunan sebanyak 274 kes (36.6 peratus) berbanding nilai ambang.




Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/194645/BERITA/Semasa/108-kes-pemerasan-dalam-talian-libat-gambar-bogel-di-Pulau-Pinang
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: 108 kes pemerasan dalam talian libat gambar bogel di Pulau Pinang


ADVERTISEMENT