mattzzx Publish time 24-3-2022 11:09 AM

Lelaki jatuh di pelantar ikan ditemukan lemas

Alor Setar: Lelaki yang dilaporkan terjatuh dari bot di pelantar ikan Kampung Ulu, Kuala Kedah, petang semalam ditemukan lemas awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat mangsa ditemukan jam 5 pagi oleh nelayan.

Berikutan itu katanya, pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengambil mayat mangsa pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

"Ada saksi memaklumkan ternampak mangsa terjun ke dalam sungai berhampiran pelantar ikan itu sebelum dilaporkan hilang.

"Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Kedah selepas mengesyaki mangsa yang juga lelaki warga Thailand itu hilang di sungai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, berdasarkan keterangan pengadu, mangsa datang ke pelantar itu untuk memohon pekerjaan.

Beliau berkata, pelbagai agensi termasuk JBPM Kedah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan Kuala Kedah terbabit dalam operasi pencarian mangsa, sejak petang semalam.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas disyaki terjatuh dari bot yang dilabuhkan di kawasan itu sebelum dilihat terkapai-kapai dibawa arus.
Pages: [1]
View full version: Lelaki jatuh di pelantar ikan ditemukan lemas


ADVERTISEMENT