mattzzx Publish time 23-3-2022 03:42 PM

Pulau Pinang benarkan solat rapatkan saf bermula 1 April

Edited by mattzzx at 23-3-2022 04:53 PM


GEORGE TOWN- Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf di surau dan masjid seluruh negeri itu bermula 1 April ini, kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, ketetapan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat Pusat berhubung solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal itu, dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan mengenainya, pada Rabu.

"Selain kebenaran merapatkan saf, kami juga membuat ketetapan untuk membenarkan aktiviti tadarus al-Quran dan qiamullail di semua masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan nanti dengan pemantauan pengurusan (masjid dan surau) dan jemaah perlu mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini, termasuk membawa sejadah sendiri.

"Solat Tarawih pula dibenarkan sehingga 20 rakaat dan kami turut memberi kelonggaran untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah (untuk) turut menunaikan solat (Tarawih), manakala majlis berbuka puasa dan moreh pula dijalankan mengikuti kesesuaian SOP,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Beliau ditemui selepas merasmikan Multaqa Murabbi Ummah peringkat Pulau Pinang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Katanya, kapasiti anggota jemaah pula adalah berdasarkan keluasan dalam masjid atau surau masing-masing

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Keputusan itu dibuat susulan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula bulan hadapan.

Sementara itu, Sirajuddin berkata, Jakim sentiasa menghargai jasa dan memberi keutamaan kepada kebajikan para ‘murabbi ummah’ atau pendidik di semua negeri, yang sedikit sebanyak terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Sebagaimana kita menghargai para doktor, jururawat dan sukarelawan, sebegitulah juga Jakim berterima kasih kepada para murabbi ummah semuanya," katanya yang menyifatkan golongan itu sebagai kumpulan barisan hadapan dalam mendidik serta mentarbiah umat.

Beliau berkata pertambahan kuota guru takmir di seluruh negara seramai 1,000 orang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 5,000 orang pada tahun ini, melibatkan kenaikan peruntukan RM10.8 juta setahun dan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM53 juta. - Bernama


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/194306/EDISI/Pulau-Pinang-benarkan-solat-rapatkan-saf-bermula-1-April
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Pages: [1]
View full version: Pulau Pinang benarkan solat rapatkan saf bermula 1 April


ADVERTISEMENT