mattzzx Publish time 23-3-2022 03:10 PM

Pengasuh dera bayi dipenjara 2 tahun

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0323rsasuh_1648017038.jpg
Wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun di bawah jagaannya tahun lalu. FOTO MIKAIL ONG

Georgetown: Wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun di bawah jagaannya tahun lalu.

Ellis Andreyani, 47, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Ellis, yang berkahwin dengan warga tempatan dan berada di negara ini selama tujuh tahun, mengaku mendera kanak-kanak itu sehingga menyebabkannya cedera fizikal di sebuah rumah di Taman Utama Persiaran Minden, Gelugor di sini antara 10 pagi dan 3 petang November tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala Ellis tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Ellis meminta hukuman denda yang minimum dan meminta maaf atas tindakannya serta berjanji tidak akan mengulanginya.

Bagaimanapun, Rais Imran meminta hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukannya selain menjadi pengajaran masyarakat.

"Ini adalah kes kepentingan awam yang membabitkan bayi. Seperti yang dilihat pada rakaman video, tertuduh yang sepatutnya menjaga kanak-kanak dan bukan menderanya," katanya.

Mengikut fakta kes, pengadu (dalam kes ini anak tiri tertuduh) melihat video yang dirakam oleh anaknya sendiri (cucu tiri tertuduh) mendera kanak-kanak di bawah jagaan tertuduh dengan memukul menggunakan tangan kosong kira-kira jam 1.15 tengah hari pada 2 Disember tahun lalu.

Pengadu kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada 8 Disember tahun lalu.

Siasatan yang dijalankan menunjukkan tertuduh memang mendera kanak-kanak itu seperti yang didakwa.

Beberapa rakaman video menjadi tular di Twitter Isnin lalu memaparkan seorang wanita yang juga pengasuh menampar pipi bayi termasuk menarik tangannya.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditahan iaitu pada 8 Disember tahun lalu.

Tertuduh juga akan dihantar pulang ke negara asal selepas menjalani hukuman itu kerana turut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Pages: [1]
View full version: Pengasuh dera bayi dipenjara 2 tahun


ADVERTISEMENT