sfhzuraz Publish time 20-3-2022 10:50 PM

ATM rangka strategi, mekanisme bantuan banjir

ATM rangka strategi, mekanisme bantuan banjir
ZULHISHAM ISAHAK | | 20 Mac 2022

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/03/20/1634353.jpg
Muhammad Hafizuddeain sedang memeriksa perbarisan ketika pembukaan Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) di Padang Kawad Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Johor Bahru pada Ahad.


JOHOR BAHRU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang merangka pelbagai strategi dan mekanisme bagi menjalankan operasi di kawasan yang dijangka dilanda banjir pada Mei ini.


Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perkara itu sudah dibincang di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan lancar.


"Langkah ini sebagai persediaan untuk peralihan monsun yang dijangka berterusan beberapa bulan lagi sehingga Mei ini.


"Kita bersedia menghadapi peralihan monsun ini, sistem dan mekanismenya pun sudah ada untuk atur gerak di peringkat awal khususnya di kawasan terjejas dan seterusnya menghantar aset ke lokasi yang dijangka berisiko tinggi," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) di Padang Kawad Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), di sini pada Ahad.


Turut hadir Panglima Latihan dan Doktrin, Tentera Darat Singapura, Brigedier Jeneral Andrew Lim Heng Tiew.

Pada 11 Mac lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun bermula 14 Mac hingga pertengahan Mei depan.

Berkenaan Eksesais Semangat Bersatu, Muhammad Hafizuddeain berkata, tujuan latihan itu diadakan bagi mengeratkan hubungan kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan Singapura.


"Latihan yang bermula sejak 18 Mac hingga 25 Mac ini melibatkan seramai 295 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia dan 95 pegawai dan anggota Tentera Darat Singapura," katanya.


Konsep eksesais adalah menjurus kepada operasi ofensif melibatkan dua fasa peperangan konvensional di kawasan am Ulu Tebrau.


Latihan itu turut menguji fungsi pasukan infantri dengan penglibatan pelbagai elemen tempur dan bantuan tempur dalam menangani sebarang ancaman selain mencapai kerjasama bilateral sesama negara.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/193774/BERITA/Nasional/ATM-rangka-strategi-mekanisme-bantuan-banjir
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: ATM rangka strategi, mekanisme bantuan banjir


ADVERTISEMENT