Raline Publish time 16-3-2022 12:06 PM

Kanser organ reproduktif jejas hasrat dapatkan zuriat

Kanser organ reproduktif jejas hasrat dapatkan zuriat

https://assets.bharian.com.my/images/articles/zuriat_1647232976.jpg
Wanita menghidap kanser di organ reproduktif wanita sukar untuk dapat zuriat. - Gambar hiasan

ORGAN reproduktif wanita adalah organ yang berfungsi dalam penghasilan zuriat dan hubungan intim.

Organ meliputi kawasan luar faraj iaitu vulva, dinding faraj, pangkal rahim, rahim dan ovari atau tiub falopio.

Kanser organ reproduktif wanita paling kerap berlaku adalah kanser pangkal rahim diikuti ovari, rahim, vulva dan faraj.

Jika sel kanser dibiarkan tanpa dirawat, sel-sel ini akan keluar daripada organ asal dan merebak ke organ lain melalui saluran limpa dan salur darah.

Kanser organ reproduktif berlaku secara senyap dan wanita hanya mengetahui diagnosa kanser pada tahap yang lewat dan selalunya sudah melarat.

Kebanyakan wanita mengalami perubahan pada kitaran haid, pendarahan selepas hubungan intim, perut kembung, kurang selera makan dan perubahan pola membuang najis.

Rawatan pembedahan

Mengulas lanjut, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi UITM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Noor Azura Noor Mahamad, berkata kaedah rawatan utama bagi kanser organ reproduktif wanita adalah melalui pembedahan.

Katanya, kaedah ini sesuai untuk pesakit yang mempunyai status kesihatan yang baik membolehkan pesakit menempuhi proses pembedahan dengan bius penuh.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/organ_1647232977.jpg
Kanser organ reproduktif boleh berlaku di kalangan wanita semua peringkat umur. - Gambar hiasan.

Kebanyakan kanser organ reproduktif wanita dibedah melalui bukaan di perut secara menegak, dan sebahagian kecil boleh dibedah melalui kaedah laparoskopik atau robotik.

Kesesuaian jenis pembedahan akan dibincangkan oleh pakar perubatan berdasarkan pengkelasan tahap kanser.

Kanser pangkal rahim tahap satu sehingga dua boleh dirawat dengan kaedah pembedahan, manakala tahap yang lebih tinggi memerlukan kombinasi rawatan kemoterapi dan radioterapi.

"Bagi kanser ovari dan rahim pula, kaedah pembedahan boleh dilakukan untuk kesemua tahap kanser ovari berserta kemoterapi sebelum atau selepas pembedahan jika perlu.

"Kanser organ reproduktif boleh berlaku di kalangan wanita semua peringkat umur. Apabila kanser organ reproduktif berlaku pada yang berusia dan mencecah usia menopaus, pilihan rawatan pembedahan boleh ditawarkan dengan membedah keluar organ reproduktif utama iaitu rahim, pangkal rahim, kedua-dua ovari dan tiub falopio," katanya.

Organ lain juga akan dibedah seperti appendiks, omentum (lemak di bawah usus besar), sebahagian faraj dan kelenjar limpa, bergantung dengan jenis kanser yang dirawat.

Rawatan lanjut dalam bentuk kemoterapi atau rawatan bertarget akan dilakukan selepas wanita pulih daripada pembedahan bertujuan mencegah pertumbuhan sel-sel kanser yang tidak dapat dilihat pada mata kasar.

Wanita muda tak sesuai bedah organ reproduktif

Dr Noor Azura berkata, bagaimanapun, pembedahan membuang semua organ utama reproduktif kadangkala kurang bersesuaian dengan pesakit yang masih muda dan memerlukan organ reproduktif untuk mendapatkan zuriat.

Selain kehilangan upaya untuk menghasilkan zuriat, pesakit kategori umur ini juga bakal mengalami proses menopaus pada usia yang jauh lebih muda daripada umur biasa, iaitu 50 tahun ke atas sekiranya mereka menjalani pembedahan membuang semua organ reproduktif utama.

Kesan menopaus awal, wanita dalam kategori ini akan mengalami masalah tulang rapuh, kekeringan faraj, kerap membuang air kecil dan perubahan suhu badan mendadak.

Katanya, bagi wanita muda yang didapati mengalami kanser organ reproduktif peringkat awal, pakar gineonkologi (kanser sakit puan) akan menawarkan pilihan menjalani rawatan pembedahan yang masih mengekalkan fungsi reproduktif.


https://assets.bharian.com.my/images/articles/Azura-14_1647232979.jpg
Dr Noor Azura Noor Mahamad.


Sebagai contoh, pesakit mengalami kanser pangkal rahim berukuran kurang daripada 2 sentimeter boleh menjalani pembedahan membuang sebahagian pangkal rahim (biopsi kon), mahupun pembedahan membuang keseluruhan pangkal rahim dan kawasan sekitarnya (trakelektomi radikal).

Dr Noor Azura berkata, bagi pesakit muda mengalami ketumbuhan pada satu ovari, mereka boleh menjalani pembedahan membuang ovari dan tiub falopio yang terbabit sahaja dan mengekalkan ovari yang sihat.

Untuk kanser dinding rahim peringkat awal, wanita muda masih berpeluang untuk mengelakkan pembedahan membuang rahim dengan mengambil pil hormon progestogen dos tinggi.

"Selepas menjalani pembedahan yang masih mengekalkan fungsi reproduktif, wanita berusia muda ini akan ditawarkan rawatan susulan dalam bentuk kemoterapi atau rawatan bertarget sekiranya perlu.

"Dalam situasi ini, wanita perlu diberitahu bahawa kemoterapi akan menyebabkan mereka kehilangan sebahagian dari telur di ovari yang masih tinggal, yang akan mengurangkan tahap kesuburan," katanya.

Perbincangan dengan pakar yang merawat sangat penting agar risiko dan kebaikan setiap rawatan boleh diperhalusi.

Sukar lakukan hubungan kelamin

Dr Noor Azura berkata, kadangkala wanita dalam kategori ini perlu mengambil masa untuk berbincang dengan ahli keluarga atau pasangan sebelum memberi keputusan mengenai rawatan yang mereka pilih.

Katanya, bukan semua wanita muda bernasib baik dan datang ketika kanser masih dalam peringkat awal.

Apabila saiz kanser terlalu besar, dikhuatiri ia boleh merebak sekiranya sebahagian organ dibedah dan sebahagian lagi ditinggalkan dalam badan.

Wanita muda juga menjalani pembedahan membuang organ reproduktif utama seperti yang dijalani oleh wanita yang berusia. Ada juga wanita muda perlu menjalani rawatan radioterapi bagi mengecutkan kanser pangkal rahim yang terlalu besar dan tidak sesuai dibedah.

"Wanita dalam kategori ini berpotensi untuk mengalami kesukaran untuk melakukan hubungan kelamin disebabkan oleh kekeringan faraj berpunca dari kekurangan hormon wanita dan kesan sampingan radioterapi.

"Ada wanita yang hilang keyakinan untuk menjalani hubungan kelamin disebabkan oleh rasa kurang yakin diri akibat kehilangan organ reproduktif.

"Wanita ini perlu mendapatkan khidmat kaunseling agar mereka dapat merungkaikan gangguan emosi dan membina semula keyakinan diri, sekali gus memberi kekuatan untuk mereka kembali menjalani hubungan intim seperti biasa.

Justeru, kaedah rawatan pembedahan yang mengekalkan fungsi reproduktif boleh diberi, selagi kanser itu masih dalam peringkat awal.

Wanita dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan diri seperti perubahan haid, pendarahan di luar waktu haid, perut kembung dan perubahan berat badan.

"Pengesanan kanser di peringkat awal membolehkan wanita untuk mengekalkan organ reproduktif kerana hanya sebahagian kecil organ terbabit yang perlu dibuang," katanya.

https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2022/03/933889/kanser-organ-reproduktif-jejas-hasrat-dapatkan-zuriat

seribulan Publish time 20-3-2022 03:06 PM

My sis mujur dah ada anak...dpt kanser camni...buang rahim & ovari...no cancer now {:1_545:}
Pages: [1]
View full version: Kanser organ reproduktif jejas hasrat dapatkan zuriat


ADVERTISEMENT