Raline Publish time 8-3-2022 10:19 PM

Usanita suntik semangat

Usanita suntik semangat

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/DatinNana-02-08_1646694014.jpg
DATIN Adzliana melihat usahawan perlu lebih kreatif dan inovatif untuk mengetengahkan produk mereka.

MESEJ penting di sebalik Hari Wanita yang diraikan pada hari ini (setiap 8 Mac) adalah memperkasakan wanita bukan untuk menyaingi lelaki. Sebaliknya mempunyai peranan bersama dalam membantu membangunkan generasi masa hadapan.

Memandangkan peranan wanita ketika ini bukan sekadar bergelar isteri, ibu atau anak dalam sesebuah keluarga, malah insan yang mampu menggoncang dunia ini turut memiliki peranan penting terutama menjana pendapatan untuk isi rumah, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Namun sejak pandemik Covid-19 melanda di seluruh dunia, banyak perusahaan dan perniagaan terkesan serta gulung tikar.

Secara tidak langsung situasi itu turut mempengaruhi usahawan wanita B40 dan M40 kerana ada antaranya yang hilang mata pencarian kerana tidak dapat lagi meneruskan perniagaan.

Prihatin dengan nasib golongan itu, Usanita Sdn Bhd, sebuah organisasi yang bertindak memainkan peranan dan menggalas tugas 'mentor' dalam usaha memperkasakan usahawan wanita.

Menariknya bimbingan diberikan bersasar selain pengisian modul khusus mengikut keperluan usahawan masa kini terutama dalam aspek pemasaran dan penjenamaan produk menerusi platform digital.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Adzliana Hasan, dua program yang dianjurkan cukup relevan dalam meraikan Hari Wanita apabila memfokuskan kepada usaha memperkasakan usahawan wanita.

"Dua program utama yang dikendalikan Usanita pada bulan ini memfokuskan kepada usaha memperkasakan wanita.

"Salah satunya adalah Program Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitilan Bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan sokongan penuh menterinya sendiri, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Program yang menyasarkan usahawan luar bandar terutama wanita bergerak lebih ke hadapan dengan mengetengahkan produk diusahakan secara turun-temurun.

"Usahawan berkenaan boleh menghantar penyertaan mereka menerusi permohonan dalam talian sehingga hari ini.

"Daripada penyertaan itu akan dijalankan saringan bagi pemilihan 50 usahawan yang pertama melepasi penjurian. Usahawan terpilih itu juga berpeluang menggunakan wajah Rosyam Nor di produk mereka selama setahun di samping mengikuti kelas bimbingan usahawan oleh pakar yang berpengalaman.

"Kelompok usahawan yang sama selain diberikan bimbingan, mereka juga diberi tugasan sehingga pemilihan akhir hanya menampilkan 10 peserta terbaik," katanya.

Program ini seperti format dalam rancangan realiti dan bakal dipertontonkan menerusi platform dalam talian atau saluran televisyen.

Menyentuh penyertaan rakan strategik seperti selebriti, pempengaruh dan ikon tempatan, kata Datin Adzliana, itu adalah realiti serta strategi permasaran masa kini selain penggunaan platform digital dalam membantu jualan usahawan.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pns_Datin_metro_1646694016.jpg
DATIN Adzliana (depan sekali) lahirkanlebih ramai usahawan wanita menerusi program Usanita.

"Pentingnya dapat mewujudkan peluang lebih adil untuk usahawan terutama luar bandar meningkatkan jualan dan penjenamaan produk mereka.

"Usahawan bukan sahaja perlu menggunakan saluran tepat, malah perlu ada kreativiti dan inovasi termasuk dalam penghasilan produk supaya terus relevan dengan pasaran semasa.

"Sedikit lonjakan dan bantuan terutama skil dalam memasarkan produk dalam program ini termasuk bantuan rakan strategik seperti Datuk Rosyam Nor, saya percaya usahawan luar bandar boleh meluaskan lagi capaian pasaran selain mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Program Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitilan Bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut membuka penyertaan kepada lelaki dan kurang upaya.

Tidak hanya membantu usahawan luar bandar, satu lagi program dianjurkan Usanita sempena meraikan Hari Wanita ialah program menjana pendapatan membabitkan ibu tunggal.

Kata Datin Adzliana, program terbabit dijalankan bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Satu lagi program dianjurkan Usanita ialah membantu ibu tunggal. Ini adalah kolaborasi bersama KPWKM dan bakal dilancarkan sempena Hari Wanita. Malah Menteri Datuk Seri Rina Harun sendiri bakal melancarkan program berkenaan.

"Kolaborasi ini membantu ibu tunggal menjana pendapatan stabil dengan kerjasama rakan strategik yang juga selebriti dan pemilik perniagaan.

"YKN yang memiliki pangkalan data ibu tunggal yang lengkap menjalankan tugas mereka bersama Usanita dalam mewujudkan platform untuk berniaga atau menjadi pemilik perniagaan," katanya.

Suntikan dana diterima daripada kementerian, ibu tunggal berpeluang membabitkan diri dalam perniagaan dan menjana pendapatan lebih stabil untuk keluarga.

Hasrat Usanita, supaya wanita di Malaysia mempunyai hala tuju lebih jelas terutama dalam perniagaan supaya boleh menikmati kehidupan lebih stabil.

"Menerusi kemahiran dan bimbingan diberi, kami berharap usahawan ini dapat berkembang dan meningkatkan kualiti produk mereka.

"Kami tidak mahu wanita ini hanya memikirkan jualan sekadar untuk menutup modal atau cukup meneruskan jualan hari berikutnya.

"Kami berharap mereka memikirkan untuk terus memajukan perniagaan iaitu daripada berniaga di rumah hingga memiliki premis perniagaan atau memiliki cawangan," katanya.

https://www.hmetro.com.my/WM/2022/03/818366/usanita-suntik-semangat


Pages: [1]
View full version: Usanita suntik semangat


ADVERTISEMENT