Raline Publish time 28-2-2022 09:57 PM

Peniaga berjiwa takwa

Peniaga berjiwa takwa

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/28hm15hb_1646007982.jpg
PENIAGA berjiwa takwa adalah insan yang akan berlaku jujur dan amanah. - Gambar hiasan

PEMBANGUNAN dalam sektor ekonomi memainkan peranan yang sangat penting ke arah membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera. Sebarang kerencatan dalam aktiviti ekonomi, sudah tentu menjadi antara punca penyebab kepada terbantutnya agenda memajukan negara.

Alhamdulillah syukur kerana negara kita dari sedekad ke sedekad terus memacu kecemerlangan dalam bidang tersebut dan situasi itu membolehkan pihak kerajaan menyalurkan banyak peruntukan untuk kesejahteraan masyarakat. Lebih menggembirakan apabila penglibatan rakyat jelata di pelbagai peringkat umur telah menyahut seruan agar menjadikan sektor perniagaan sebagai pilihan untuk diceburi.

Kini, bidang perniagaan dalam apapun bidang dan jenisnya sudah mampu diterokai oleh anak watan kerana adanya kesan langsung daripada pelbagai kemudahan yang disediakan seperti kemudahan mendapat modal niaga, penyediaan tapak atau premis niaga, malah dari segi mendapatkan khidmat nasihat dan latihanpun sudah banyak yang dianjurkan oleh agensi-agensi yang berkaitan.

Bersandarkan kepada keadaan tersebut, maka tiada sebab mengapa rakyat tidak mampu untuk 'terjun' dalam bidang ekonomi bercorak niaga. Sebutlah apa sahaja keperluan yang dikehendaki, pasti akan ada agensi kerajaan yang bersedia menghulurkan bantuan. Begitulah besarnya nikmat yang Allah kurniakan kepada rakyat di negara kita. Alhamdulillah syukur.

Pun begitu, timbulkan juga beberapa isu yang dilihat sebagai perkara yang kurang menggembirakan seperti terdapatnya peniaga yang tidak jujur dalam urusan jual-beli, adanya segelintir peniaga yang sanggup menyorok barangan keperluan semata-mata mahu menaikkan harga barangan keperluan itu. Selain itu, terdapat juga sebilangan kecil daripada kalangan individu yang sebelum ini beria-ia berusaha mendapat lesen niaga, namun sebaik sahaja memperolehinya, lesen itu diali-babakan atau disewakan kepada pihak lain.

Kita pernah membaca laporan media yang melaporkan adanya sesetengah kalangan rakyat tempatan yang mendapat lesen niaga tetapi menyewakan lesen berkenaan kepada warga asing. Ini jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak jujur. Ini juga menunjukkan satu gaya sikap mahu mendapat keuntungan dengan 'jalan pintas' tanpa perlu bersusah payah menjalankan perniagaan, cuma memenuhkan 'akaun bank' melalui duit sewa tapak niaga. Sungguh tidak bertanggungjawab sikap seumpama itu!

Kesemua isu itu menunjukkan bahawa sikap tidak bertanggungjawab dan tidak jujur masih sukar untuk dibasmi. Sebenarnya peniaga yang bertindak tidak jujur dan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah 'mencalar imej' golongan peniaga yang lain juga. Ia menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Sungguhpun Islam amat menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan sebagai lapangan mencari sumber rezeki, tetapi dalam waktu yang sama Islam menetapkan garis panduan tertentu untuk dipatuhi. Sebab itulah bagi ulama terdahulu, mereka menyarankan supaya mereka yang ingin melibatkan diri sebagai peniaga perlu belajar agama terlebih dahulu khususnya dalam bab halal dan haram.

Hingga Saidina Umar al-Khattab pernah berpesan yang katanya: "Tidak boleh seseorang berniaga di pasar kami ini kecuali mereka telah mempelajari hukum-hakam agama."

Mengapa demikian bersungguhnya sahabat Nabi SAW itu berpesan? Ya, sudah tentu kerana beliau tidak mahu melihat adanya sebarang salah laku dalam kalangan peniaga Muslim. Beliau pastinya mahukan seseorang peniaga itu jujur, beramanah dan bertanggungjawab semasa menjalankan urusniaga.

Meskipun, pada zaman Rasulullah SAW dan sahabatnya mungkin tidak berlaku lagi isu 'menyewakan lesen niaga' kepada pihak ketiga, namun ia tetap menjadikan satu kelakuan tidak bermoral yang mempamerkan peribadi tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Kita dapat melihat bagaimana rapuhnya ilmu tentang hukum halal dan haram dalam agama khususnya bersabit perniagaan yang seringkali timbul itu sebenarnya tidak lain berpunca kurangnya pemahaman terhadap ilmu.

Begitu juga dengan Saidina Ali bin Abi Talib yang mana beliau juga pernah mengingatkan umat Islam agar belajar ilmu hukum hakam dalam niaga untuk mengelakkan diri terlibat dalam kancah dosa. Katanya, "Sesiapa yang berniaga sebelum dia menguasai ilmu berkaitan hukum-hakam jual beli, maka dia terjerumus dengan riba. Kemudian dia akan terjerumus lagi dan lagi."

Selain daripada belajar ilmu hukum hakam dalam urusan jual beli, seseorang yang ingin bergelar peniaga Muslim yang diredai Allah perlulah selalu ingat kepada pesanan Nabi SAW yang mahukan umatnya sentiasa bertakwa kepada Allah di mana sahaja berada.

Hal itu termasuklah semasa seseorang sedang menguruskan hal ehwal perniagaan sekalipun, nilai takwa perlu bersemat dalam jiwa. Pesan Nabi SAW: "Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan dengan (amalan) kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Peniaga berjiwa takwa pasti mampu membentengkan diri daripada terjebak dalam kancah mungkar dan dosa semasa berniaga. Pastinya timbul rasa berdosa kepada Allah sekiranya mahu lakukan apa sahaja perbuatan salah laku penyelewengan. Jadi, peniaga berjiwa takwa adalah insan yang akan berlaku jujur dan amanah kerana memahami dan insaf bahawa setiap gerak laku akan diperhatikan Allah. Di mata manusia boleh disembunyikan, namun tidak pada 'pandangan' Allah. Keyakinan diri yang tinggi bahawa 'Allah sedang memerhati' perlu sebati dalam hati.

Yakinlah bahawa menjalankan urusan berjual beli dengan etika Islam tidak akan sesekali mendatangkan kerugian. Lihatlah bagaimana hebat dan cemerlangnya sahabat Nabi SAW dahulu seperti Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas dan ramai lagi yang menceburi bidang perniagaan dengan jujur dan beramanah, hingga mereka memperoleh keuntungan yang begitu lumayan sehingga mampu menggunakan hasil perolehan niaga itu untuk kemaslahatan umat Islam yang lain.

Sahabat Nabi SAW itu merupakan contoh peniaga berjiwa takwa yang jitu dan karakter mereka sewajarnya diteladani oleh mereka yang bergelar peniaga sekarang. Usah dibiarkan diri hanya nampak habuan duniawi, sedangkan kepentingan ukhrawi diketepi.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

https://www.hmetro.com.my/addin/2022/02/815115/peniaga-berjiwa-takwa

Pages: [1]
View full version: Peniaga berjiwa takwa


ADVERTISEMENT