Raline Publish time 28-2-2022 09:48 PM

Subur dengan diet

Subur dengan diet

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kesuburanwebb_1645570815.jpg
AMALAN pemakanan yang dapat meningkatkan kesuburan.

'Doktor makanan apa yang sesuai untuk meningkatkan kesuburan? Boleh ke saya makan buah zuriat? Berapa banyak daging saya boleh makan? Sperma saya ada masalah? Betul ke doktor soya menyebabkan tidak subur?'

Demikian persoalan yang acap kali ditanya pesakit ketika sesi rawatan kesuburan. Tahukah anda, diet yang sihat mampu meningkatkan kesuburan?

Perunding Sakit Puan Metro IVF, Dr Ahmad Zhariff Hussein berkata, gaya hidup dan pemakanan yang sihat membabitkan pasangan suami dan isteri mampu membantu dalam meningkatkan peluang untuk kehamilan.

"Setakat hari ini, tiada kajian kukuh yang mampu membuktikan bahawa setiap variasi makanan dan pengkhususan diet seperti vegetarian, rendah lemak dan yang diperkaya dengan vitamin atau antioksidan mampu meningkatkan tahap kesuburan.

"Namun ada juga kajian mendapati bahawa nutrien dan pemakanan dalam amalan diet harian mampu mengoptimumkan kesuburan ketika tempoh prakehamilan," katanya.

Menurutnya, setiap individu perlu ingat makanan yang diambil akan menjadi darah daging kita.

"Oleh itu, makanan yang sihat akan menghasilkan tisu dan sel telur lelaki dan wanita yang sihat serta berkualiti," katanya.

Mengulas lanjut, pemakanan juga berkait rapat dengan obesiti kerana pengambilan lemak dan gula yang berlebihan boleh mengundang ke arah kegemukkan dan mampu menyebabkan masalah kesuburan kerana berat badan berlebihan.

"Malah banyak kajian yang dilakukan berkaitan berat badan berlebihan dan kesuburan bukan sahaja memberikan impak yang tinggi kepada isteri, tetapi kesuburan suamiturut terkesan.

"Kajian Kohort membuktikan BMI yang lebih dari 30 mampu mengganggu ovulasi untuk wanita dan kualiti sperma lelaki yang akhirnya mengurangkan kadar kesuburan pasangan ini," katanya.

Beliau turut berkongsi nutrien pemakanan yang perlu dititik beratkan untuk pasangan suami isteri bagi membantu meningkatkan kesuburan.

1.Lemak tidak tepu (Mono unsaturated fat)

Wanita yang mengambil lemak tidak tepu mempunyai kadar kesuburan yang lebih tinggi.

Pengambilan produk tenusu lemak penuh, protein tumbuhan dan lemak tak tepu dikaitkan dengan kadar ketidaksuburan serta ovulasi yang lebih rendah.

Pada tahun 2007, kajian Kohort terhadap 18,555 wanita yang berkahwin mengenai kekerapan pengambilan lemak dalam makanan mendapati mereka yang mengambil transfat mengalami risiko ketidaksuburan ovulasi berbanding dengan mereka yang mengambil lemak tidak tepu.

Pemakanan yang disarankan adalah minyak zaitun, buah avokado, bijirin dan kekacang.

https://www.hmetro.com.my/WM/2022/02/813210/subur-dengan-diet

Raline Publish time 28-2-2022 09:49 PM

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kesuburanwebb2_1645570818.jpg
AVOKADO mempunyai lemak tidak tepu yang membantu meningkatkan kadar kesuburan.
Lelaki yang mengamalkan diet Omega-3 seperti minyak sayur-sayuran, biji, kacang dan ikan berminyak dapat meningkatkan kualiti dan pergerakan sperma manakala yang mengambil diet lemak tepu yang tinggi mampu menjejaskan kualiti sperma.

2.Protein

Protein antara tiga nutrien penting dalam makanan kerana mempunyai elemen penting untuk sel badan terutama untuk memperbaiki sel-sel badan yang rosak.

Nutriean ini amat penting dalam membantu menghasilkan sel-sel badan yang sihat dan berkualiti.

Kajian menunjukkan bahawa makanan yang mempunyai sumber protein tumbuh-tumbuhan yang tinggi berbanding haiwan dapat meningkatkan kadar ovulasi untuk wanita.

Masyarakat kini lebih cakna dalam pemilihan pemakanan berasaskan tumbuhan kerana faedah kesihatan memberi impak yang baik kepada kesuburan dan berpotensi mengurangkan risiko obesiti.

3.Vitamin D

Vitamin D ialah vitamin yang larut lemak (fat soluble) yang bertanggungjawab untuk meningkatkan penyerapan kalsium, magnesium. Fosfat dalam usus dan banyak kesan biologi yang lain penting untuk sistem tulang badan manusia.

Untuk organ pembiakan wanita (kesuburan) seperti ovari dan dinding dalam rahim (endometrium), pengambilan vitamin D penting di samping membantu dalam proses penempelan embrio.

Pada 2017, penyelidik menganalisis 11 kajian, mendapati 2,700 wanita yang menjalani ART (assisted reproductive techniques) iaitu persenyawaan in vitro atau bayi tabung uji (IVF), suntikan sperma intracytoplasmic (ICSI) dan/atau pemindahan embrio beku) dan status vitamin D mereka sudah diperiksa melalui ujian darah.

Kajian mendapati bahawa wanita yang mempunyai kandungan vitamin D memiliki kejayaan kadar kelahiran yang lebih tinggi berbanding daripada wanita yang mempunyai kandungan vitamin D rendah.

Sumber utama vitamin D adalah cahaya matahari. Manakala makanan yang kaya dengan vitamin D ialah ikan, minyak hati ikan kod, telur kuning dan susu serta bijirin yang diperkaya dengan vitamin D.

Vitamin D juga memainkan peranan penting dalam proses penghasilan sperma yang berkualiti untuk lelaki dalam meningkatkan kadar kesuburan. Kajian terperinci masih dijalankan saintis mengenai vitamin D dan sperma lelaki.

4.Zat Besi

Zat besi antara mineral asas yang perlu ada dalam badan manusia.

Kekurangan zat besi boleh memberi impak kepada kesuburan untuk lelaki dan wanita

Ia kerap berlaku untuk wanita dan ia boleh mengganggu fungsi ovari (kilang telur) dan mengurangkan kualiti benih wanita (oocyte)

Manakala kekurangan zat besi untuk lelaki boleh mengganggu proses spermatogenesis dan mengurangkan kualiti sperma.

Makanan yang kaya dengan zat besi adalah bayam, kerang, daging merah, kekacang, biji labu, quinoa dan hati.

Di samping itu, pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin C seperti oren, brokoli, sitrus jus, kekacang mampu mengoptimumkan penyerapan zat besi yang diperlukan tubuh.

Cuba elakkan pengambilan kafein ketika memakan makanan yang kaya dengan zat besi kerana ia menghalang penyerapan zat besi.

5.Zink

Zink adalah penting untuk kesuburan lelaki dan wanita. Zink amat diperlukan untuk pembentukan sperma. Dengan kata lain, zink adalah suplemen penting untuk sperma.

Manakala untuk wanita, zink berperanan dalam keseimbangan hormon dan ketika ovulasi.

Sumber pemakanan termasuk bijirin penuh, bijan dan kekacang, tiram dan daging merah tanpa lemak.

6.Selenium

Selenium adalah mineral yang perlu untuk kesuburan lelaki kerana ia membantu dalam penghasilan sperma yang berkualiti untuk lelaki. Ia juga mampu bertindak sebagai antioksidan.

Ada juga pakar kesuburan mengelarkan selenium sebagai 'super mineral' untuk kesuburan lelaki.

Kajian terperinci masih dijalankan untuk meneliti kelebihan selenium terhadap kesuburan lelaki dan wanita.

Makanan yang kaya dengan selenium seperti pisang, kurma, ikan, kekacang dan daging.

7.Vitamin E

Vitamin E adalah antioksidan semula jadi yang bagus. Ia mampu membantu meningkatkan kadar kesuburan untuk lelaki dan wanita.

Hal ini kerana ia mampu untuk membantu meningkatkan kualiti benih wanita, sperma lelaki dan meningkatkan peratus kadar kejayaan ketika proses persenyawaan dan penempelan janin.

Sumber makanan yang kaya dengan vitamin E adalah bunga matahari, kacang almond, labu dan minyak zaitun.

8.Iodin

Iodin adalah zat mineral yang penting dalam penghasilan hormon tiroid. Kekurangan atau iodin berlebihan memberi impak kepada kadar hormon tiroid dalam badan manusia

Secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada kesuburan terutamanya wanita. Antara kesannya, ia boleh mengganggu ovulasi wanita dan jika hamil ia berisiko keguguran.

Manakala lelaki, hormon tiroid yang tidak seimbang mampu mengganggu paras hormon testosteron dan mineral asas dalam air mani untuk penghasilan sperma yang berkualiti.

Sumber makanan yang kaya dengan iodin adalah kerang, ikan dan produk tenusu.

Dr Ahmad Zhariff berkata, pasangan yang berusaha untuk mendapatkan zuriat perlu memberikan perhatian yang serius kepada keseimbangan pemakanan yang baik iaitu diet sihat.

"Pengambilan diet yang seimbang dan sihat mampu meningkatkan kadar kesuburan dan kehamilan di samping membantu menghasilkan tubuh badan yang sihat dan mengurangkan berat badan.

"Setiap pasangan mempunyai perjalanan yang berbeza dan perubahan diet yang baik mampu meningkatkan peluang untuk hamil," katanya.

Jelasnya, sekiranya masih mengalami kesukaran untuk hamil selepas mencuba selama enam hingga 12 bulan dapatkan nasihat doktor.

"Analisa awal mampu memberi hasil yang terbaik dan membantu meningkatkan peratusan kehamilan yang tinggi.

"Reda tanpa usaha seperti menyerah kalah tanpa mengetahui faktor yang perlu diperbaiki dan rawatan yang sesuai untuk memiliki zuriat.

"Jangan berputus asa, usaha yang dilakukan Allah mengetahui walau sekecil zarah. Paling utama, sentiasa berusaha dan berdoa supaya dikurniakan zuriat," katanya.

Pages: [1]
View full version: Subur dengan diet


ADVERTISEMENT