Raline Publish time 24-2-2022 11:26 PM

Sihat selepas bersalin

Sihat selepas bersalin

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/tungkuwebb1_1645567933.jpg
BERTUNGKU dapat melembutkan urat saraf.

Amalan berpantang antara fasa memulihkan kembali tenaga yang banyak digunakan ketika mengandung dan selepas melahirkan anak.

Pengetua Akademi Kecantikan Digital Lawwa.Asia, Siti Rohani Abdul Jalal berkata, antara amalan yang biasa dilakukan untuk penjagaan ibu berpantang adalah mandi herba, urutan dan bertungku.

"Amalan yang dilakukan sejak turun-temurun ini mampu memberi kebaikan terhadap kesihatan luaran dan dalaman seorang wanita.

"Selain menyihatkan badan, penjagaan ini dapat mengembalikan bentuk badan, memelihara awet muda, melancarkan peredaran darah dan merapatkan serta memulihkan peranakan," katanya.

Menurutnya, biarpun terdapat banyak rawatan moden, kaedah tradisional tidak boleh dipinggirkan kerana dapat memberi manfaat kepada kesihatan wanita bersalin untuk jangka masa panjang.

Beliau turut berkongsi antara amalan tradisional yang boleh diamalkan ibu berpantang:

1. Mandi herba

Sebelum memulakan urutan ibu berpantang perlulah mandi dengan air mandian herba yang dilakukan sejak nenek moyang lagi, penyediaan bahan-bahan yang digunakan untuk mandian adalah terdiri daripada daun- daun herba seperti :-

Serai wangi

Daun inai

Daun mengkudu

Halba

Kunyit hidup

Lengkuas dan halia

Daun pandan

2. Urutan badan

Urutan badan untuk bersalin normal, bersalin melalui pembedahan dan keguguran adalah berbeza.

Bagi yang bersalin normal dan keguguran tiada masalah untuk disentuh bahagian abdomen.

Urutan boleh dilakukan biasanya pada hari ketiga. Manakala bagi yang bersalin secara pembedahan bahagian abdomen tidak dibenarkan sentuh dan urutan hanya dibolehkan selepas seminggu bersalin. Ini kerana bahagian jahitan pembedahan di abdomen masih belum kering dan mengelakkan pergerakan yang banyak.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/tungkuwebb2_1645567936.jpg
TEKNIK urutan bergantung kepada tukang urut.

Biasanya urutan selepas bersalin paling kurang adalah selama tiga hari berturut-turut yang mengambil masa selama sejam 30 minit sehingga dua jam untuk setiap sesi.

Teknik dan cara urutan bergantung kepada tukang urut. Kebiasaannya, urutan bersalin dengan menggunakan minyak herba atau minyak aromaterapi.

3. Bertungku

Seusai urutan, ibu berpantang boleh bertungku bagi mengeluarkan angin, melembutkan urat saraf dan mengecutkan rahim wanita yang baru bersalin.

Namun, bertungku tidak boleh digunakan pada abdomen wanita yang bersalin melalui pembedahan.

Terdapat pelbagai jenis dan bentuk tungku. Tungku tradisional yang biasa digunakan adalah batu sungai kerana ia boleh menyimpan haba yang lama yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

https://www.hmetro.com.my/WM/2022/02/813174/sihat-selepas-bersalin

Pages: [1]
View full version: Sihat selepas bersalin


ADVERTISEMENT