Raline Publish time 7-2-2022 10:08 AM

HANG TUAH DI DALAM KITAB SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

FAKTA BERKENAAN HANG TUAH DI DALAM KITAB SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

https://www.facebook.com/photo/?fbid=297125939079449&set=pcb.977135923233180


1) Nama sebenar Hang Tuah adalah Daeng Mempawah. Beliau adalah anak Raja Bajung.
2) Hang Tuah berasal dari daerah Goa, Mengkasar Sulawesi.
3) Hang Tuah dikurniakan oleh Raja Goa kepada rombongan diplomatik dari Melaka sebagai hadiah kepada Sultan Mansur Syah, sultan kerajaan Melaka pada waktu itu.
4) Ketika dikurniakan oleh Raja Goa kepada rombongan Melaka, umur Hang Tuah baru 12 tahun. Walaupun baru berusia 12 tahun, Hang Tuah pernah membunuh 2 orang yang mengamuk di negerinya.
5) Nama Hang Tuah dberikan oleh Sultan Mansur Syah setelah baginda berkenan melihat beliau.
6) Hang Tuah dikurniakan sebuah keris Terupa Melaka oleh Sultan (bukan keris Taming Sari).
7) Hang Tuah berguru dengan Hulubalang-Hulubalang sepanjang berada di Melaka. Bukan dengan Adi Putera di gunung Ledang seperti di dalam kisah yang masyhur.
8 ) “Perhangan” yang kita sedia ketahui adalah 5 orang tetapi sebenarnya di dalam Sulalatus Salatin, Sultan Mansur telah memilih 8 orang “Hang” sebelum kedatangan Hang Tuah iaitu:
- Hang Jebat
- Hang Kasturi
- Hang Lekir
- Hang Lekiu
- Hang Ali
- Hang Iskandar
- Hang Hassan
- Hang Hussin
Maka dengan kedatangan Hang Tuah, “perhangan”(pahlawan Melaka) menjadi 9 orang. Mereka semuanya saling muafakat dan berkasih sayang. Hang Tuah adalah yang paling handal di antara 9 orang “Hang” ini.

9) Hang Tuah dikenali sebagai seorang yang rupawan, cerdik, perkasa, mempunyai hikmat dan berani. Apabila ada orang yang mengamuk di dalam Melaka dan tidak ada siapa yang mampu mengawal amukan tersebut maka Hang Tuah akan dititahkan oleh Sultan untuk mengatasinya. Dikatakan bahawa Hang Tuah pernah membunuh seramai 74 orang yang mengamuk di Melaka.

10) Pemuda-pemuda di Melaka menggelarnya Laksamana kerana apabila Hang Tuah bergurau dengan rakan-rakannya, beliau akan menyingsing lengannya dan berkata: “Laksamana akan lawanku”. Sejak dari itu para pemuda memanggilnya dengan Laksamana hingga akhirnya sultan juga terikut-ikut memanggilnya Laksamana.

11) Pada suatu hari ada seorang Jawa mengamuk kerana berasa malu diejek oleh para pemudaMelaka. Ramai yang dibunuh oleh orang Jawa tersebut dan tidak ada siapa yang mampu mengawalnya. Sultan kemudian menghantar Hang Tuah untuk menyelesaikannya dan akhirnya orang yang mengamuk tu berjaya dibunuh. Dengan kejayaan itu Sultan terus melantik Hang Tuah menjadi Laksamana.

12) Hang Tuah sangat tampan orangnya. Ketika di Majapahit, Hang Tuah menjadi kegilaan para wanita dan gadis Jawa. Dikatakan jika seorang Iseri sedang berada dalam dakapan suaminya sekalipun pasti akan terkejut dan terus keluar untuk melihat Hang Tuah.

13) Ketika pertarungan dengan Hang Jebat, Hang Tuah dalam keadaan tubuh yang sangat kurus. Berjalan pun terketar-ketar kerana beliau dipasung dalam tempoh yang lama oleh Seri Nara Diraja di Dusun akibat kesalahan berzina dengan Dayang Istana. Hang Tuah Berjaya menewaskan Hang Jebat kerana kepintarannya memperdaya Hang Jebat. Ketika keris beliau terlekat di dinding beliau meminta belas kasihan dari Hang Jebat agar memberikannya peluang mencabut kembali kerisnya. Hal tersebut berlaku selama dua-tiga kali. Tetapi apabila keris Hang Jebat tersangkut ke dinding, cepat-cepat beliau menikam Hang Jebat.

14) Apa yang perlu diperhatikan, tidak ada diceritakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat bertarung di atas Talam kerana para pengawal menjolok dengan lembing dari bawah Istana. Juga tidak ada perebutan keris Taming Sari yang mana sesiapa yang memiliki Taming Sari akan menjadi kebal. Malah keris tersebut juga tidak wujud di dalam Sulalatus Salatin.

15) Hang Tuah berkahwin dan mempunyai 2 orang ISTERI iaitu;
1. ISTERI PERTAMA (Nama tidak disebut) - saudara kepada Seri Bija Diraja Dato Bongkok.
ANAK DARI ISTERI PERTAMA:
I- Tun Sirah (perempuan) kahwin dengan Temenggung Khoja Hassan
CUCU DARI ISTERI PERTAMA
I- Tun Abdullah (Lelaki)
II- Tun Biajid (Lelaki)
III- Tun Daerah (Perempuan) - Berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah Cicit dari isteri pertama Raja Dewi Sultan Mahmud Syah
2. ISTERI KEDUA (Nama tidak disebut) - Dari keluarga Bendahara Paduka Raja
ANAK DARI ISTERI KEDUA:
I- Sang Guna (Lelaki)
II- Tun Emas Jiwa (Perempuan) - Berkahwin dengan Hang Nadim
CUCU DARI ISTERI KEDUA
I- Tun Mat Ali Hang Nadim
CICIT DARI ISTERI KEDUA
I- Tun Hamzah Tun Mat Ali
PIUT DARI ISTERI KEDUA
I- Tun Ali Tun Hamzah - Tun Ali bergelar Seri Petam

16) Ketika ekspedisi mendaki Gunung Ledang untuk meminang Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah tidaklah merasa sangat kecewa hingga ghaib di Sungai Melaka akibat gagal mendaki ke puncak Gunung Ledang seperti di dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah masih lagi hidup hingga beliau meninggal dunia setelah sekembali menantunya, Hang Nadim dariBenua Keling. Hang Tuah telah dimakamkan di Tanjung Keling, Melaka oleh Sultan Mahmud. Jawatan Laksamana kemudiannya disandang oleh menantunya sendiri, Temenggung Khoja Hassan.

17) Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan, bukanlah Hang Tuah yang melarikan Tun Teja dari Pahang. Peristiwa tersebut berlaku selepas Hang Tuah meninggal dunia. Yang melarikan Tun Teja adalah Hang Nadim, iaitu menantu Hang Tuah.
18) Gambar: Makam Hang Tuah di Tanjung Keling, Melaka


Kredit : Saufy Jauhary

Pages: [1]
View full version: HANG TUAH DI DALAM KITAB SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU


ADVERTISEMENT