Raline Publish time 5-2-2022 09:57 AM

Istimewa Rejab: Bulan ibadah solat

Istimewa Rejab: Bulan ibadah solat




https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0204rssolat_1644012016.jpg
Kedatangan bulan Rejab mengingatkan kita tentang ketibaan Ramadan yang semakin hampir. Bulan Rejab juga lazimnya diingati dengan peristiwa penting yang berlaku di dalamnya seperti perintah kefarduan solat serta Israk dan Mikraj.

Bulan Rejab mempunyai kelebihan yang tersendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Taubah ayat 36 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa."

Bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya'ban."(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Manakala amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.

Hakikatnya, kewajipan untuk melaksanakan segala ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT bukanlah terbatas pada waktu dan musim tertentu. Namun kedatangan bulan Rejab yang merupakan salah satu daripada bulan istimewa bagi umat Islam boleh dijadikan iktibar dan detik penting agar kita berusaha memanfaatkan peluang dan kesempatan untuk meningkatkan amalan dan ibadah kepada Allah SWT sebagai tanda kesyukuran dan kecintaan kepada-Nya. Perintah solat yang pertama kali diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dalam bulan Rejab adalah ibadah paling utama yang menjadi asas hubungan antara hamba dengan Pencipta serta menjadi kunci kesejahteraan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Oleh itu umat Islam dituntut agar memelihara solat pada setiap waktu dan ketika.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 238 bermaksud: "Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk."

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dibina Islam atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadan."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pelbagai peringatan dan ancaman dinyatakan kepada golongan yang sengaja meninggalkan ibadah solat tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Firman Allah dalam surah al-Muddatthir ayat 42-47 bermaksud: "(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini."

Ibadah solat adalah perkara utama yang dipertanggungjawabkan kepada manusia di akhirat kelak seperti hadis yang bermaksud: "Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang Hari Akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka dia akan berjaya dan menang dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal." (Riwayat al-Tirmizi)

Ulama berpendapat sesiapa yang meninggalkan solat sama ada kerana keuzuran atau tanpa keuzuran, maka wajib mengqadakan solat tersebut.

Di Malaysia, umat Islam dapat melaksanakan ibadah solat dengan aman dan sejahtera. Pelbagai kemudahan disediakan bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat melalui pembinaan masjid dan surau, tempat solat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya serta pusat membeli-belah dan pelbagai lagi.

Di Wilayah Persekutuan sejumlah 89 masjid, 123 surau Jumaat dan 611 surau disediakan bagi kemudahan umat Islam menunaikan solat. Anak-anak didedahkan dengan ilmu asas dan praktikal solat di peringkat sekolah rendah lagi melalui pengajaran kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa). Justeru, sesibuk mana pun kita dalam urusan pekerjaan, jangan sesekali meninggalkan ibadah solat lebih-lebih lagi dalam situasi getir menghadapi pelbagai ujian dan musibah kehidupan.

Bersempena kedatangan bulan Rejab juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi-agensi agama peringkat persekutuan telah melancarkan kempen Bulan Solat Peringkat Kebangsaan dengan tujuan menjadi pemangkin untuk meningkatkan kualiti ibadah dalam amalan solat.

Inisiatif tersebut diharapkan menjadi ruang bagi umat Islam untuk bersama-sama mempelajari dan mengulangkaji tentang fiqh solat, kaedah bagi mendapatkan solat yang khusyuk, saling memperingati tentang kewajipan solat dan sebagainya. Kempen tersebut juga penting agar masyarakat Islam tidak mengambil ringan tentang kepentingan ibadah tersebut yang menjadi resipi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Selain daripada melaksanakan dan mempergiatkan amalan seperti ibadah solat, umat Islam juga dianjurkan untuk merebut peluang meningkatkan pelbagai amalan yang lain seperti berpuasa dan membaca al-Quran, mengikuti kelas-kelas pengajian, majlis ilmu dan program pengimarahan yang dilaksanakan setiap hari di semua masjid dan surau di seluruh negara dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kita juga boleh mengambil peluang untuk menghulurkan derma dan sumbangan melalui aktiviti kutipan derma di masjid dan surau serta berinfaq dan berwakaf melalui pelbagai kemudahan teknologi terkini yang disediakan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

https://www.hmetro.com.my/addin/2022/02/807105/istimewa-rejab-bulan-ibadah-solat

Pages: [1]
View full version: Istimewa Rejab: Bulan ibadah solat


ADVERTISEMENT