Raline Publish time 29-1-2022 01:08 PM

KEDAH KEHILANGAN SETUL

KEDAH KEHILANGAN SETUL

https://www.facebook.com/photo/?fbid=1005195437018886&set=gm.971483790465060


Setul (kini dipanggil Satun) merupakan sebuah wilayah kerajaan negeri Kedah sebelum wujudnya Kesultanan Melayu Islam Kedah lagi.

Yakni, Setul ialah wilayah Kedah sejak sebelum tahun 1136 seperti dalam satu catatan:

"Hatta dalam hal yang demikian disebut oranglah negeri Qalha yang terdiri dari Kuala Qilah, Kuala Bahang, Kuala Merpah dan Kuala Bara'."

(Qalha - Kedah, Kuala Qilah - Kuala Merbok, Kuala Bahang - Kuala Kedah).

Kuala Merpah dan Kuala Bara' terletak dalam wilayah Setul.

Wilayah Setul pada asalnya diperintah oleh pemimpin-pemimpin tempatan yang digelar Dato' di mukim masing-masing seperti di Temelang, Kuala Bara' dan Kuala Merpah.

Pemerintah rasmi di Setul mula dihantar pada tahun 1804 sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (Sultan Kedah ke-21), iaitu Tunku Bisnu.

Tunku Bisnu ialah salah seorang daripada 19 orang putera Sultan Abdullah Mukarram Shah (Sultan Kedah ke-20) dan adik kepada Tunku Pangeran (kemudian digelar Sultan Ahmad Tajuddin II, Sultan Kedah Ke-22).

Tunku Bisnu kekal menjadi Pemerintah Setul sehinggalah berlaku krisis perebutan kuasa oleh adiknya, Tunku Yaakub (Tunku Embun) yang mahu menguasai Setul dan Perlis pada tahun 1821.

Tunku Yaakub menjadi petualang dengan membantu Siam dan Ligor menawan Kedah.

Selepas Sultan Ahmad Tajuddin II kembali bertakhta di Kedah pada tahun 1842 selepas penjajahan Siam, Setul diisytiharkan sebagai wilayah berasingan (tidak lagi sebagai jajahan Kedah) dan Tunku Bisnu kekal sebagai pemerintah Setul.

Selepas Tunku Bisnu meninggal dunia pada tahun 1843, anaknya Tunku Muhammad Akib dilantik sebagai pemerintah Setul sehingga tahun 1876.

Pemerintah Setul yang berikutnya ialah Tunku Ismail (1876 - 1888) dan Tunku Abdul Rahman (1888 - 1897).

Pada 17 Mei 1897, Setul dan Perlis disatukan bersama-sama Kedah dengan gelaran "Monthon Saiburi". Monthon bermaksud 'wilayah kecil pentadbiran', manakala Saiburi yang bermaksud Lindungan Awan merujuk kepada negeri Kedah.

Monthon Saiburi diperintah oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang dilantik sebagai Khaluang Tesaphiban (Pesuruhjaya Tinggi) oleh Siam.

Kemangkatan Tunku Abdul Rahman sebagai pemerintah Setul digantikan oleh Ku Baharuddin bin Ku Meh (dikenal sebagai Ku Din Ku Meh) oleh Sultan Abdul Hamid dengan jawatan baharu: Pesuruhjaya.

Pelantikan ini mendapat tentangan oleh Raja Muda Setul, Tunku Muhammad di mana beliau sepatutnya menjadi Raja Setul selepas kemangkatan Tunku Abdul Rahman.

Pemberontakan Tunku Muhammad gagal dan Ku Din kekal menjagi Pesuruhjaya Setul.

Ku Din dikenali sebagai pengasas Kerajaan Melayu Moden di Setul dan banyak mengikut sistem pentadbiran Kedah.

Antara yang dilaksanakan di Setul sewaktu pemerintahan Ku Din:

- pakaian rasmi kerja oleh pegawai tinggi
- pengeluaran hasil ternakan, kelapa, balak dan sarang burung sebagai nadi pendapatan
- amalan Sistem Kerah untuk kerja-kerja raya
- cukai kepala sebanyak 6 kupang 2 duit

Walau bagaimanapun, corak pemerintahan Ku Din semakin cenderung ke arah Bangkok berbanding Kedah dan Sultan Abdul Hamid selaku Pesutuhjaya Tinggi di akhir-akhir pemerintahannya.

Ku Din sengaja melantik dirinya sebagai Raja Setul dengan gelaran Tunku Baharuddin bin Ku Meh.

Tindakan Ku Din bagaimanapun disokong oleh Bangkok.

Tragedi buat Setul berlaku pada tahun 1909. Perjanjian Inggeris - Siam yang ditandatangani pada masa itu menyempadankan kawasan jajahan Inggeris dan Siam.

Wilayah Setul yang seluas 120 batu persegi dengan beberapa pulau seperti Pulau Adang, Pulau Tarutau dan Pulau Panjang secara rasminya menjadi milik penuh Siam.

Tunku Baharuddin bersara pada tahun 1916 dan digantikan dengan Gabenor berbangsa Siam.

Tamatlah sudah kisah Kerajaan Melayu Setul Mambang Segara selama 100 tahun (1808 - 1909).

#jejakkedahmerdeka


Pages: [1]
View full version: KEDAH KEHILANGAN SETUL


ADVERTISEMENT