mattzzx Publish time 27-1-2022 05:11 PM

iPhone kembali kuasai pasaran telefon pintar di China

https://assets.bharian.com.my/images/articles/iphone_1643269730.jpg
iPhone mewakili 23 peratus daripada saingan sengit pasaran bagi tempoh Oktober-Disember lalu. - Foto REUTERS

BEIJING: Apple kembali menguasai kedudukan teratas penjual telefon pintar di China selepas enam tahun, dengan melakar rekod penguasaan pasaran pada suku akhir 2021 tatkala Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap pesaing, Huawei.

Berdasarkan laporan firma analisis, Counterpoint semalam, lonjakan nilai jualan menyaksikan pengeluar iPhone mewakili 23 peratus daripada saingan sengit pasaran bagi tempoh Oktober-Disember lalu.

Ia sekali gus meletakkan gergasi AS itu pada kedudukan teratas buat pertama kali sejak suku terakhir 2015, mengetepikan pengeluar dari China, Vivo.

Vivo dan sebuah lagi jenama, Oppo tidak ketinggalan jauh, dipacu oleh faktor penembusan luar talian yang kuat.


Bagaimanapun, kadar jualan telefon pintar di dalam negara merekodkan penyusutan sebanyak enam peratus, bagi tempoh dikaji.

"Prestasi memberangsangkan Apple didorong oleh gabungan strategi harga dan manfaat daripada asas premium Huawei.

"Apple menduduki tempat pertama di China selepas iPhone 13 dikeluarkan pada September lalu," kata penganalisis penyelidikan Counterpart, Mengmeng Zhang.

Perubahan itu terlakar selepas gergasi telekom China, Huawei dihimpit kesan dagangan dan teknologi dengan Washington.

AS sehingga kini mengenakan sekatan terhadap Huawei daripada membeli komponen penting seperti mikrocip dan memaksa gergasi China itu mencipta sistem operasi tersendiri, dengan memutuskan rangkaian daripada menggunakan sistem pengoperasian Android Google.

Pada Disember 2021, Huawei berkata, keuntungan tahunan syarikat itu berkurangan hampir satu pertiga berbanding tahun lalu kepada 634 bilion yuan (RM418.06 bilion).

China ialah pasaran utama bagi Apple, dengan nilai jualan di wilayah terbesar China termasuk tanah besar, Hong Kong dan Taiwan, iaitu peningkatan 70 peratus dari tahun ke tahun bagi September. - AFP
Pages: [1]
View full version: iPhone kembali kuasai pasaran telefon pintar di China


ADVERTISEMENT