mattzzx Publish time 25-1-2022 11:27 AM

Jumpa pesawat C-46 hilang 77 tahun lalu

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/24hmc46_1643063416.jpg
BANGKAI pesawat C-46 ditemui bulan lalu. FOTO AFP

New Delhi: Selepas 77 tahun, akhirnya pesawat Perang Dunia Kedua, C-46 yang hilang ditemui di wilayah terpencil Himalaya.

Pesawat berkenaan yang membawa 13 penumpang dari Kunming, China dilaporkan hilang dalam ribut yang melanda pergunungan Arunachal Pradesh, pada minggu pertama tahun 1945.

Pengembara Amerika Syarikat (AS), Clayton Kuhles mengetuai misi mencari semula pesawat itu bersama pasukan dari etnik tempatan, Lisu atas permintaan Bill Scherer, anak seorang mangsa yang berada dalam pesawat malang berkenaan.

Katanya, mereka mengharungi sungai dan berkhemah dalam suhu beku pada kedudukan tinggi gunung, malah sepanjang misi, tiga penunjuk arah meninggal dunia akibat hipotermia ketika ribut melanda pada September.

"Akhirnya kami menemukan pesawat itu di puncak gunung yang diliputi salji bulan lalu menerusi nombor siri pada badan bangkai pesawat itu.

"Tidak ada jasad manusia dalam bangkai pesawat itu," katanya.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, ratusan pesawat tentera AS hilang di sekitar India, China dan Myanmar akibat tembakan musuh daripada tentera Jepun.

Namun, Kuhles yakin sebahagian besar pesawat jatuh akibat terlanggar ais, angin ribut serta keadaan cuaca buruk lain.

AFP melaporkan, tiga individu meninggal dunia akibat hipotermia dalam khemah ketika ribut salji melanda pada misi itu bermula September lalu.

Sementara itu, Scherer berkata, penemuan itu melegakan hatinya.

"Walaupun sangat menyedihkan, namun saya gembira kerana dapat mengetahui di mana dia berada.

"Saya membesar tanpa ayah. Tak dapat bayangkan ibu saya mendapat telegram memaklumkan ayah hilang.

"Ketika itu saya baru berusia 13 bulan," katanya melalui kiriman e-mel dari New York.
Pages: [1]
View full version: Jumpa pesawat C-46 hilang 77 tahun lalu


ADVERTISEMENT