Raline Publish time 17-1-2022 10:05 PM

Labur RM10,000 demi replika kereta mini

Labur RM10,000 demi replika kereta mini

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kolek17hm_1642422536.jpg
Mohd Juraime menunjukkan koleksi replika kereta mini atau ‘Diecast Car’ miliknya. FOTO FAIZ ANUAR

Shah Alam: Mereka yang tidak gemar mengumpul replika kereta mini atau 'Diecast Car' mungkin menganggap Mohd Juraime Jantan keterlaluan kerana sanggup membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk hobinya itu.

Bagaimanapun, bapa seorang anak berusia 39 tahun itu tidak pernah berasa menyesal sebaliknya puas kerana dapat membeli setiap replika kereta mini yang diinginkan.

Baginya, hobi itu adalah terapi yang boleh menenangkan jiwa dan menghilangkan keletihan selepas seharian bekerja.

Bercerita lanjut, Mohd Juraime atau mesra disapa Pak Tam yang menetap di Kampung Seri Tiram, Tanjung Karang, Selangor berkata, minatnya terhadap replika kereta mini adalah sejak kecil lagi namun tidak mampu membelinya ketika itu.

"Dua tahun lalu iaitu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya ke sebuah kedai dan membeli replika kereta mini model Lamborghini.

"Saya letakkannya sebagai perhiasan di papan pemuka kereta dan lama kelamaan, datang minat untuk mengumpul.

"Daripada satu, koleksi saya bertambah dan dianggarkan sudah mengumpul 200 replika kereta terdiri daripada 12 model antaranya Lamborghini, Nissan Skyline, Honda dan Toyota," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kolek2hm_1642422539.jpg
ANTARA koleksi replika kereta miliknya. FOTO FAIZ ANUAR

Menurut Mohd Juraime, sebahagian replika kereta mini dibeli di premis tertentu dan ada juga menerusi platform dalam talian.

Katanya, replika kereta mini paling mahal pernah dibelinya adalah model AutoArt yang berharga RM2,600.

"Ia dibeli pada tahun lalu dan selang dua bulan kemudian, saya beli satu lagi replika kereta mini berkenaan dengan harga sama.

"Ikutkan memang mahal namun itu cara saya beri ganjaran kepada diri sendiri dan saya juga sudah mula menjual beberapa koleksi peribadi bagi mencari kawan baru yang berkongsi hobi sama.

"Isteri tidak menghalang hobi ini kerana tahu saya meminati kereta dan yang berkaitan dengan automatif sebelum kami berumah tangga lagi.

"Cuma, dia (isteri) ada pesan supaya beli ikut kemampuan dan jangan terlalu membazir," katanya yang mengusahakan kedai potong kereta di Jalan Kebun, di sini.

Menurut Mohd Juraime, replika kereta mini itu tidak sukar untuk dijaga walaupun koleksi dimilikinya banyak.

"Sebahagian koleksi, saya letakkan di rumah dan selebihnya dalam kereta dan premis.

"Tak susah untuk menjaganya cuma perlu disusun dengan elok dalam rak dan dilap bagi menghilangkan debu.

"Setakat ini, tiada yang hilang cuma ia memang jadi tarikan kanak-kanak yang datang ke rumah," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2022/01/801118/labur-rm10000-demi-replika-kereta-mini

Pages: [1]
View full version: Labur RM10,000 demi replika kereta mini


ADVERTISEMENT