sfhzuraz Publish time 14-1-2022 03:09 PM

SAM gesa kenal pasti punca kebakaran tapak pelupusan Pulau Burung

SAM gesa kenal pasti punca kebakaran tapak pelupusan Pulau Burung
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 14 Januari 2022

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/01/14/1415117.jpg
Kepulan asap tebal di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang terbakar pada 12 Januari lalu.


GEORGETOWN - Pihak berkepentingan digesa supaya mengenalpasti punca berlakunya kebakaran di Tapak Pelupusan Pulau Burung, Nibong Tebal pada Rabu lalu.


Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Syarikat PLB Terang Sdn Bhd dan beberapa pihak lain perlu segera menangani serta mencari jawapan berhubung masalah tersebut.


Menurutnya, tempat pelupusan tersebut kerap kali terbakar dengan insiden terbaharu beberapa hari lalu.


"Pihak bertanggungjawab yang berkenaan khususnya syarikat yang menguruskan tapak pelupusan sampah perlu menyiasat dan mendedahkan punca berlakunya kebakaran ini kepada orang ramai.


"Ini berikutan kepulan asap yang busuk disebabkan oleh sisa-sisa pepejal yang terbakar memenuhi ruang udara seakan jerebu telah merebak ke kawasan penempatan penduduk. Antara penempatan yang terancam dengan pencemaran udara adalah Kampung Baru Byram; Kampung Changkat; Kampung Bagan Buaya; Kampung Titi Hitam; Kampung Pengkalan, Kampung Jawi serta Taman Perumahan Desa Jawi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, lebih membimbangkan apabila longgokan sampah terbabit tidak diketahui isi kandungannya.


"Kita tidak dapat pastikan apa yang terkandung di dalam longgokan sampah terbabit yang menyebabkan kebakaran tidak terkawal dan kemungkinan besar melepaskan gas toksik.


"Kebakaran itu amat besar dan mengakibatkan berlakunya kepulan asap tebal di udara," jelasnya.


Rabu lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.


Anggaran keluasan tapak pelupusan itu adalah 4.05 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar berkeluasan 28 x 28 meter persegi.


Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut bimbang dengan kejadian itu kerana secara tidak langsung ia boleh menjejaskan kesihatan orang awam terutamanya mereka yang mengalami masalah kesihatan, warga emas yang uzur serta kanak-kanak.


"Justeru, SAM berharap agar perkara ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin dan pihak pengurusan tapak pelupusan perlu mengambil iktibar di atas perkara yang sudah dua kali berlaku.


"Orang awam berhak untuk tahu perkara dan punca sebenar kejadian itu berlaku," katanya.


Pada Februari tahun lalu, lokasi sama dilaporkan terbakar dengan melibatkan anggaran keluasan kebakaran adalah hampir 900 meter persegi.


Seramai 50 anggota bomba dari tiga balai terlibat dalam operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah yang membabitkan keluasan kira-kira 929 meter kaki persegi.


Ketika itu, bomba mengambil masa lebih lapan untuk memadamkan kebakaran tersebut.


Bagaimanapun, dua hari selepas itu, bomba menerima panggilan kecemasan susulan selepas mendapati kebakaran berlaku di tempat sama, namun di kawasan berbeza.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/183018/EDISI/SAM-gesa-kenal-pasti-punca-kebakaran-tapak-pelupusan-Pulau-Burung
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: SAM gesa kenal pasti punca kebakaran tapak pelupusan Pulau Burung


ADVERTISEMENT