Raline Publish time 13-1-2022 02:12 PM

Sejarah Setapak

Sejarah Wangsa Maju: Setapak

Mukim Setapak merupakan antara daerah terawal yang dibuka di Kuala Lumpur. Namun begitu, sejarah Mukim Setapak ini agak kelam berikutan tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi di internet mahu pun di dalam buku sejarah. Kesilapan orang lama untuk tidak menulis rekod menyebabkan banyak kisah-kisah bersejarah yang berlaku di Mukim Setapak ini hilang lenyap di arus zaman tanpa diketahui oleh generasi terkini.

Mengikut rekod, Mukim Setapak asalnya diduduki oleh orang asli dan orang Minangkabau iaitu seawaltahun 1880an iaitu tahun di mana Kuala Lumpur mula dibuka. Sejarah yang sebenar adalah perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur telah menyebabkan orang-orang kanan Raja Abdullah membuka sekitar kawasan Kuala Lumpur sebagai kawasan baru di dalam Negeri Selangor. Ini berikutan keadaan di Klang yang merupakan kawasan komersial Negeri Selangor pada masa itu berada di dalam keadaan huru-hara disebabkan oleh pertempuran yang dicetuskan oleh Raja Mahdi. Mukim Kerinci (kini Bangsar), Mukim Petaling, Mukim Batu dan Mukim Setapak mula dibuka untuk dibangunkan dengan perlombongan bijih timah dan tanaman padi. Ramai yang tidak mengetahui bahawa pembesar Negeri Selangor iaitu Dato Alam Setapak merupakan pemimpin tempatan pertama yang membuka mukim ini untuk dibangunkan. Beliau telah membuka beratus-ratus ekar tanah untuk dibangunkan sawah padi bagi tujuan bekalan makanan untuk penduduk di Kuala Lumpur selain membuka lombong bijih timah secara kecil-kecilan di sekitar Sg. Gombak. Namun nama beliau tenggelam dan hanya nama Sultan Puasa sahaja yang naik sebagai pembuka Kuala Lumpur berikutan hubungan beliau yang rapat dengan Kapitan Cina seperti Yap Ah Loy pada waktu itu.

https://1.bp.blogspot.com/-XfvWq9UtuKw/XQfIpFfTJPI/AAAAAAAAMPU/KeZYmXm1XcwNuOvo4yPhiEQzHZK_2H0hgCLcBGAs/s320/abt_1613823226497679528OTA5MTY1.jpg

Gambar yang diambil oleh British pada tahun 1892 di Setapak, Kuala Lumpur yang menunjukkan kegiatan orang kampung yang mengerjakan sawah padi pada ketika itu.

https://1.bp.blogspot.com/-ge6QVIO3AbE/XQfIsGzsWkI/AAAAAAAAMPY/gzgvzSSl63s85pjMpnvDmq47aLdOzDTiACLcBGAs/s320/Screenshot_20180501-193445.png

Peta pada tahun 1960 yang menunjukkan kewujudan sawah padi sekitar Kg Padang Balang. Kawasan ini kini menjadi Taman Greenwood dan Bandar Baru Sentul pada masa kini.

Pada waktu dahulu di sekitar tahun 1890an sehingga tahun merdeka, kawasan Setapak dan sekitar mukim Gombak terkenal dengan sawah padi. Malahan, terdapat gesaan pada waktu itu menyarankan agar negeri-negeri lain seperti Pahang dan Negeri Sembilan untuk belajar kaedah menanam padi daripada penduduk kampung di sekitar kawasan Setapak dan Gombak bagi menghasilkan sumber beras yang mencukupi untuk negara.

Namun begitu, bermula pada tahun 1960an, kawasan sekitar Setapak ini mula tercemar kerana pembuangan sisa daripada kilang dan bengkel yang dibina di sekitar kawasan tersebut. Pencemaran air ini menyebabkan hasil padi merosot dan merosakkan hasil tanaman padi dan menyebabkan penduduk kampung tidak lagi mahu menanam padi di kawasan Setapak ini.

Apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diwujudkan, penduduk kampung memohon untuk kawasan sawah padi ini dilupuskan dan digantikan dengan kawasan komersial dan kediaman sejajar dengan arus pembangunan di Kuala Lumpur.

Maka sedikit demi sedikit, pemandangan sawah padi ini mula hilang dan diganti dengan bangunan batu dan kawasan baru mula wujud menggantikan kawasan pertanian ini seperti di Taman Dato Senu, Bandar Baru Sentul dan taman perumahan lain di sekitar Setapak.

Adalah diharapkan semoga pihak kerajaan dapat menyimpan rekod dan membuat kajian sejarah di kawasan setapak ini supaya segala simpanan sejarah lama ini dapat ditatap oleh generasi akan datang untuk mengenal sejarah asal Wangsa Maju di masa akan datang.

SumbeR:http://wangsamajuboyz.blogspot.com/2019/06/sejarah-wangsa-maju-setapak.html

Pages: [1]
View full version: Sejarah Setapak


ADVERTISEMENT