sfhzuraz Publish time 1-1-2022 01:45 AM

Bersalin dalam kereta: JKNPP jalankan siasatan dalaman

Bersalin dalam kereta: JKNPP jalankan siasatan dalaman
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 31 Disember 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/12/31/1401201.jpg
Gambar hiasan


GEORGETOWN - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian seorang wanita terpaksa melahirkan bayinya di dalam kereta gara-gara tidak sempat tiba di hospital.


Pengarahnya, Dr Ma'arof Sudin berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan waris wanita tersebut pada Jumaat.


Menurutnya, siasatan berkenaan akan dijalankan segera bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada semua lapisan masyarakat.


"Merujuk kepada kenyataan yang ditularkan di media sosial Facebook berhubung seorang wanita melahirkan bayinya di dalam kereta selepas mendapat rawatan awal di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 27 Disember 2021, pihak hospital mengesahkan bahawa pesakit terbabit ada mendapatkan rawatan di sana.


"Pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai tanda-tanda awal kelahiran namun dibenarkan pulang dengan nasihat doktor. Kita sudah berjumpa dengan waris pesakit hari ini (Jumaat).


"Sehubungan itu, jabatan memutuskan bahawa satu siasatan dalaman akan dijalankan bagi menambahbaik penyampaian perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada semua lapisan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Ma'arof turut memohon agar orang awam dan pesakit yang mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan berhubung secara terus dengan pihak hospital agar siasatan atau penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera.


Pada Rabu, menerusi satu hantaran di laman Facebook PenangKu Viral, seorang wanita didakwa pada mulanya pergi ke sebuah hospital kerajaan kerana sudah menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin.


Bagaimanapun, wanita itu didakwa diminta pulang ke rumah terlebih dahulu kerana dimaklumkan masih belum tiba masa untuk melahirkan bayi kerana bukaan menunjukkan 2 sentimeter.


Wanita itu kemudian merayu kepada pihak hospital untuk membenarkannya dimasukkan ke wad memandangkan dia tinggal di Sungai Ara yang agak jauh dari hospital.


Bagaimanapun, rayuannya didakwa tidak diendahkan dan tidak lama selepas tiba di rumah, wanita itu memberitahu suaminya dia perlu dikejarkan ke hospital semula kira-kira jam 7 malam kerana sudah 'turun darah'.


Bagaimanapun tempoh perjalanan ke dua buah hospital kerajaan adalah antara 50 minit hingga sejam, 20 minit pada ketika itu, berikutan keadaan trafik pada waktu puncak.


Wanita itu akhirnya melahirkan bayinya di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke hospital, sebelum suaminya membawanya ke sebuah hospital swasta terdekat.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/180807/EDISI/Bersalin-dalam-kereta-JKNPP-jalankan-siasatan-dalaman
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: Bersalin dalam kereta: JKNPP jalankan siasatan dalaman


ADVERTISEMENT