tari Publish time 24-12-2021 11:56 AM

"Si bulus" juga ahli keluarga kami - Mangsa banjir

https://img.astroawani.com/2021-12/51640307822_TBBANJIRHULULANGAT.jpg
Seekor kucing dilihat berteduh di bawah payung susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan seluruh negara. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: "Mereka juga ahli keluarga kami." Ungkapan ringkas, cukup untuk menjelaskan tindakan mangsa banjir dan individu lain yang sanggup merisikokan keselamatan diri demi menyelamatkan "anak bulus" atau haiwan peliharaan dan jalanan daripada bencana itu.
Klip video yang memaparkan usaha mereka itu turut membanjiri media sosial tatkala operasi menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap, khususnya di Lembah Klang pada hujung minggu baru-baru ini, dilaksanakan pelbagai pihak.



Bagi Alia Zulaikha Mahmud, 21, dan adiknya Nur Hazirah, 14, pengalaman menyelamatkan 11 ekor kucing mereka yang sebelum itu terpaksa ditinggalkan di rumah mereka di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, adalah antara yang sukar dilupakan.
"Kami terpaksa meredah banjir separas pinggang untuk selamatkan 11 ekor kucing kami, namun hanya sembilan sahaja selamat, dua lagi mati dihempap almari yang terbalik akibat dilanda arus deras air bah," kata Nur Hazirah, berkongsi cerita dengan Bernama.
Ceritanya lagi, dalam kejadian Sabtu lepas itu, paras air naik mendadak hingga ke paras dada orang dewasa, menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menyelamatkan diri mereka terlebih dahulu, meninggalkan kesemua kucing mereka di atas almari.
"Apabila banjir mulai surut tiga hari kemudian, kami minta bantuan bot daripada pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menyelamatkan kucing dan harta benda yang lain," Alia Zulaikha mencelah.
Menurut adik-beradik itu, kesemua kucing mereka kini "menumpang" di rumah rakan-rakan.
"Kami bersyukur kerana kesemua ahli keluarga termasuk kucing-kucing kami selamat. Mungkin bagi sesetengah orang kucing-kucing itu hanyalah haiwan, tetapi bagi kami, mereka sebahagian daripada keluarga kami," kata Alia Zulaikha.
Bernama
Disember 24, 2021 09:03 MYT





Pages: [1]
View full version: "Si bulus" juga ahli keluarga kami - Mangsa banjir


ADVERTISEMENT