mattzzx Publish time 21-12-2021 04:44 PM

Sukarelawan Kedah hantar bantuan RM300,000

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/12/21/1350755.jpeg
Selain makanan kering dan minuman, sukarelawan juga membeli bot untuk kegunaan tugas menyelamat.

SUNGAI PETANI - Barangan keperluan, makanan kering dan minuman bernilai kira-kira RM300,000 dihantar pasukan sukarelawan Kedah dalam misi bantuan banjir ke Klang, Selangor pada Isnin.

Pengarah Urusan Murtada Dakwah Centre (Madad), Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata, kira-kira 100 sukarelawan dengan lebih 20 kenderaan pacuan empat roda, lori dan van itu bergerak ke Klang kira-kira jam 1 petang membawa pelbagai muatan keperluan mangsa banjir.

Menurutnya, kesemua sumbangan akan ditempatkan di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Hawariyyun di Jalan Kem, Klang sebelum diagihkan kepada penduduk terjejas.

"Semua sukarelawan dari pelbagai lokasi datang berkumpul di Madad atas tujuan sama iaitu membantu mereka yang ditimpa musibah.

"Kita selaraskan pergerakan atas faktor keselamatan petugas dan sukarelawan yang mana kita turut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah yang telah sampai lebih awal," katanya.

Menurutnya, penghantaran awal ditumpukan kepada makanan kering yang boleh dimakan tanpa perlu dimasak memandangkan keadaan mangsa dan tempat tinggal yang masih terjejas teruk.

"Kita juga telah membeli bot untuk memudahkan pergerakan kerana dimaklumkan masih terdapat kawasan yang ditenggelami air contohnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

"Berdasarkan maklumat meteorologi juga menjangkakan akan berlaku air pasang besar dalam tempoh terdekat, jadi kita bersedia sebarang kemungkinan," jelasnya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama terutama sukarelawan yang bersiap-sedia dari segi sumbangan tenaga dan pelbagai bantuan dalam menjayakan misi kali ini.

Beberapa personaliti turut menyumbang antaranya usahawan terkenal Datuk Faridah Hanim Haron; mentor pelaburan, Mohd Asri Ahmad dan motivator, Khailil Razak atau lebih dikenali sebagai Ustaz Tido.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/179123/EDISI/Sukarelawan-Kedah-hantar-bantuan-RM300000
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Pages: [1]
View full version: Sukarelawan Kedah hantar bantuan RM300,000


ADVERTISEMENT