mattzzx Publish time 15-12-2021 05:30 PM

NGO jual barangan terpakai untuk bantu anak yatim, ibu tunggal

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/12/15/1343847.jpg
Penyerahan disaksikan Pegawai Zakat Kuala Muda, Sofiyuddin Ismail (dua kanan).

SUNGAI PETANI - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berusaha sendiri dengan mengumpul dan menjual barangan terpakai untuk dijual bagi mendapatkan hasilnya kerana enggan bergantung harap kepada sumbangan daripada orang ramai semata-mata.

Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu berkata, kesemua barangan terkumpul terdiri daripada pakaian, kasut, novel, hiasan rumah dan barangan dapur itu diletakkan di sebuah premis wakaf yang dinamakan Butik Qasehku.com untuk dijual dengan harga murah kepada orang ramai.

"Hasil jualan akan digunakan untuk perbelanjaan rumah jagaan anak yatim, warga emas dan rumah mengaji yang disediakan secara percuma kepada golongan sasar.

"Kami enggan mendedahkan alamat penuh rumah anak yatim atau ibu tunggal ini untuk mengelakkan fitnah dan aib kepada penerima. Hasil jualan barangan terpakai akan digunakan untuk membiayai mereka selain menyampaikan sumbangan kepada individu yang dikenal pasti kelayakan seperti asnaf dan fakir miskin.

"Setakat ini, kami mempunyai Rumah Qaseh Ayah di Merbok; Rumah Anak Yatim Perempuan Jariah Qaseh di Sungai Petani dan tiga buah rumah mengaji di sekitar kawasan perumahan kos rendah di daerah ini, semuanya disediakan percuma," katanya ketika menerima kehadiran Unit Kebajikan, Sukan dan Khidmat Masyarakat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang ke premis wakaf tersebut di Taman Ria Jaya, pada Rabu.

Katanya, kehadiran rombongan terbabit yang menyerahkan lebih 1,000 barangan terpakai untuk dikumpulkan dan dijual amat dihargai.

Hadir sama menyaksikan penyerahan ialah Pegawai Zakat Kuala Muda, Sofiyuddin Ismail.

Menurut Natipah, harga barangan yang dijual amat berpatutan iaitu serendah RM10 dengan matlamat membantu semua golongan serta tidak membebankan.

"Tujuan butik wakaf ini adalah memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menyumbang dan peluang kepada orang lain yang mahu mendapatkan barangan terpakai dengan harga murah," katanya.

Kata Natipah, ada di antara penyumbang tidak pernah dikenali dan hanya berhubung dengannya melalui media sosial Facebook, Natipah Abu.

Natipah yang mempunyai pengikut Facebook seramai 70,000 berkata, inisiatif itu juga sebagai platform mewujudkan rasa kasih dan simpati kepada golongan kurang bernasib.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/178017/EDISI/NGO-jual-barangan-terpakai-untuk-bantu-anak-yatim-ibu-tunggal
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Pages: [1]
View full version: NGO jual barangan terpakai untuk bantu anak yatim, ibu tunggal


ADVERTISEMENT