kerisnaga Publish time 28-11-2021 07:17 PM

20 NGO sokong Kedah tutup premis judi

20 NGO sokong Kedah tutup premis judi
ROSLINDA HASHIM | | 28 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/28/1326055.jpg
Sebahagian ahli NGO yang hadir menyatakan sokongan terhadap keputusan Kedah menghentikan pengeluaran lesen judi dan mengehadkan penjualan arak di negeri ini.


ALOR SETAR - Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam menyerahkan memorandum menyokong keputusan kerajaan negeri Kedah menghentikan pengeluaran lesen judi dan mengehadkan penjualan arak di negeri ini.


Gabungan bersama NGO dan anak-anak Kedah itu antaranya diwakili oleh Persatuan Kebajikan Islam Dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida Malaysia), Pekida Kedah, Skuad Badar, Warisan Pendekar Negeri Kedah dan Pertubuhan Pendekar Kedah.


Mewakili NGO terbabit, Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam memorandum itu supaya kerajaan negeri konsisten dengan keputusan berkenaan untuk kepentingan umat Islam dan masyarakat.


“Memorandum berkenaan turut menyarankan usaha memerangi maksiat dipertingkatkan selepas Kedah memerangi aktiviti judi dan arak, selari dengan ketetapan agama.


“Kami mohon keputusan itu dikekalkan, jangan buat pusingan U walaupun diasak pihak tertentu,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahya di hadapan pintu masuk Wisma Darul Aman pada Ahad.


Azhar berkata, pihaknya berharap Kedah akan menjadi contoh kepada negeri lain untuk turut sama melaksanakan perkara itu.


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/28/1326054.jpg
Azhar (kanan) menyerahkan memorandum sokongan kepada Zulkifli di hadapan pintu masuk Wisma Darul Aman pada Ahad.


“Semua maklum kesan mudarat akibat perjudian, arak dan maksiat kepada masyarakat sehingga boleh membawa kepada masalah rumah tangga, ah long, jenayah serta keganasan.


“Apa yang kami lakukan ini bukan berkaitan isu agama, sebaliknya meliputi manusia sejagat,” katanya.


Sementara, Setiausaha Majlis Ayahanda Pekida Malaysia, Datuk Seri Mejar Yaacob Hassan menegaskan sokongan itu bagi memastikan Kedah kekal aman.


“Kita bukan anti kepada agama bukan Islam. Pendirian kita ialah berpegang teguh kepada prinsip dianjurkan oleh Islam iaitu amar makruf nahi mungkar. Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan membanteras judi, arak dan maksiat,” katanya.


Beliau juga tidak mahu gejala negatif seperti itu berleluasa di Kedah selain bersedia menjalin kerjasama bagi membanteras aktiviti tidak bermoral itu.


Naib Yang Dipertua, Warisan Pendekar Negeri Kedah, Masdi Mahmud pula meminta semua pihak menyokong usaha murni kerajaan negeri itu dengan membantu menyebarkan kebaikan.


“Kita harus menegakkan kembali akidah umat Islam. Masyarakat kini berdepan dengan serangan pelbagai fahaman yang boleh memecahbelahkan umat Islam dan manusia sejagat. Kita harus kembali tegakkan perkara yang termaktub dalam al-Quran dan hadis,” katanya.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/174952/EDISI/20-NGO-sokong-Kedah-tutup-premis-judi
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: 20 NGO sokong Kedah tutup premis judi