kerisnaga Publish time 28-11-2021 03:32 PM

'Transporter' cuba seludup 17 PATI ditahan

'Transporter' cuba seludup 17 PATI ditahan
NURUL HIDAYAH HAMID | | 28 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/28/1325949.jpg
Antara transporter dan PATI yang ditahan dalam pemeriksaan di plaza tol Hutan Kampung arah selatan pada Jumaat.


ALOR SETAR - Tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'transporter' yang cuba menyeludup 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di plaza tol Hutan Kampung arah selatan, di sini pada Jumaat.


Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan dibantu JSJ Bukit Aman mengesan tiga kenderaan dipandu tiga lelaki itu lebih kurang jam 9.30 pagi.


"Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga kenderaan mendapati terdapat PATI yang terdiri daripada 12 wanita dan lima lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 44 tahun tanpa dokumen perjalanan yang sah.


"Pemandu dan PATI ditahan selain tiga buah kenderaan dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu ditawarkan upah sebanyak RM200 untuk setiap orang PATI oleh ejen.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan tangkapan direman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).


Mohd Roze menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah akan meneruskan usaha membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di negeri Kedah.


Orang ramai boleh menyalurkan maklumat di talian 04-7741403 sambungan 105 atau MERS 999.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/174934/BERITA/Semasa/Transporter-cuba-seludup-17-PATI-ditahan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: 'Transporter' cuba seludup 17 PATI ditahan