kerisnaga Publish time 27-11-2021 08:38 PM

Ratifikasi CPTPP jejaskan hak bumiputera

Ratifikasi CPTPP jejaskan hak bumiputera
ROSLINDA HASHIM | | 27 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/27/1325294.jpg
Mukhriz

ALOR SETAR - Hak bumiputera didakwa akan terjejas apabila Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) diratifikasikan.


Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berdasarkan peruntukan CPTPP, agenda bumiputera akan dikawal selia dan terhad, berbanding peruntukan hak bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Menurut beliau, sekiranya kerajaan memutuskan untuk meratifikasikannya, undang-undang sedia ada perlu ditambah peraturan, arahan, surat edaran, dasar dan lain-lain peruntukan perlu diubah, selain menilai implikasi serta langkah-langkah mitigasi.


“Peruntukan untuk melindungi hak-hak bumiputera dalam Annex II ‘Non-Conforming Measures’ (NCM) di bawah perjanjian CPTPP tidak menyeluruh, hanya terpakai untuk beberapa peruntukan substantif berkenaan pelaburan dan sektor perkhidmatan.


“Misalnya, tiada pengecualian terhadap peruntukan layanan adil dan saksama dan perampasan. Kedua-duanya boleh digunakan untuk mencabar dasar-dasar tindakan afirmatif termasuk yang diperuntukkan untuk bumiputera,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Sabtu.


Mukhriz berkata, Malaysia telah menggunakan pelbagai dasar untuk pembangunan ekonomi dan keseimbangan sosial.


“Ini termasuk penggunaan barangan dan syarikat tempatan dalam perolehan kerajaan, menggunakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas untuk tingkatkan penglibatan vendor tempatan, menyeimbangkan keseluruhan pemilikan tempatan dan asing, tindakan afirmatif untuk bumiputera serta dasar berkaitan pembangunan industri.


“Dasar-dasar ini akan dikekang oleh CPTPP yang mempunyai implikasi terhadap ekonomi dan struktur serta keharmonian sosial,” katanya.


Jelas beliau, NCM sebenar yang dirujuk dalam Annex II perjanjian CPTPP oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyebut, “Malaysia berhak menerima pakai atau mengekalkan sebarang langkah yang memberi bantuan kepada bumiputera bagi tujuan menyokong penyertaan bumiputera dalam pasaran Malaysia melalui pengeluaran lesen atau permit baharu dan tambahan untuk bumiputera yang layak menerima bantuan, dengan syarat langkah tersebut tidak menjejaskan hak pemegang lesen dan permit sedia ada atau pemohon akan datang untuk lesen dan permit dalam sektor penyertaan asing dibenarkan.”


“Ini bukan pengecualian untuk bantu bumiputera. Pengecualian hanya dibenarkan jika tidak jejaskan hak pemegang lesen sedia ada atau masa hadapan.


“Bantuan untuk bumiputera pula diberi melalui lesen atau permit berbeza dengan dasar yang ada. Oleh kerana Bahagian Pelaburan perjanjian CPTPP meliberalisasikan pasaran, syarat 30 peratus ekuiti bumiputera hanya dibenarkan dalam sektor yang tersenarai dalam Annex I & II,” ujarnya.


Jelas Mukhriz, jika tidak dikecualikan, GLC tertentu tidak boleh dibantu oleh kerajaan dari segi pinjaman, jaminan dan ekuiti.


“GLC juga dilarang untuk memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan bumiputera dalam perolehan mereka, sekali gus menggagalkan peranan sosioekonominya.


“Perniagaan perolehan GLC lebih besar daripada kerajaan Persekutuan. CPTPP akan menyekat keutamaan kepada syarikat bumiputera, PKS dan firma Sabah/Sarawak yang digabungkan menjadi 40 peratus daripada jumlah nilai perolehan GLC,” katanya.


Jelas Mukhriz, sehingga 2014, Petronas memberikan 70 peratus daripada nilai perolehan kepada syarikat bumiputera.


“Walaupun terdapat beberapa pengecualian, ia spesifik dan bukan menyeluruh. MITI mesti perincikan pengecualian yang dikatakan telah diperoleh.


“Kesan liberalisasi kepada perolehan kerajaan juga tidak disebut secara mendalam. Perolehan kerajaan CPTPP, secara amnya bagi kontrak melebihi ambang tertentu. Malaysia telah meliberalisasikan perolehan kerajaan di semua kementerian, kecuali beras, telur, perasa, teh, kopi dan sampul surat,'' katanya.


Pengecualian ini juga ujarnya, melibatkan alat pemadam api, produk Microsoft, peluru senjata kecil, kelengkapan polietilena berketumpatan tinggi, elektrik dan air.


Tambah Mukhriz, walaupun terdapat pengecualian dalam Annex 15A perjanjian CPTPP, penilaian penuh peruntukan substantif dan pengecualian mesti didedahkan agar impak menyeluruh terhadap hak bumiputera diketahui.


“Malaysia boleh memilih untuk mengarahkan 100 peratus kontrak pembinaannya kepada bumiputera, CPTPP pula mengurangkan kepada 30 peratus.


“CPTPP akan membantutkan dasar negara berkenaan isu di luar perdagangan seperti pelaburan, perolehan kerajaan, GLC serta tindakan afirmatif untuk bumiputera. Ia akan menyebabkan kerajaan hilang kebebasan untuk membuat, mengemas kini atau melaksanakan dasar, undang-undang dan tindakan di luar ikatan dengan CPTPP,” katanya.


Tegas beliau, beberapa perkara di bawah CPTPP seperti perkhidmatan dan pelaburan juga memberikan kesan kepada dasar, undang-undang selain peraturan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.


“Ini perlu dimansuhkan atau diubah jika ia melanggar CPTPP kerana pengecualian CPTPP tidak mencukupi untuk menyelamatkan mereka. Tiada tarikh akhir atau keperluan undang-undang untuk meratifikasikan CPTPP pada bila-bila masa sekali pun.


''Ada perjanjian berkaitan perdagangan yang ditandatangani tetapi tidak diratifikasikan oleh Malaysia dan negara lain,” katanya.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/174832/BERITA/Nasional/Ratifikasi-CPTPP-jejaskan-hak-bumiputera
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: Ratifikasi CPTPP jejaskan hak bumiputera


ADVERTISEMENT