Raline Publish time 26-11-2021 09:50 PM

Ramai jadi mangsa perbuatan menghendap

Ramai jadi mangsa perbuatan menghendap
https://assets.bharian.com.my/images/articles/menghendap2_1635220315.jpg
Menghendap tidak diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah, ramai mangsa tidak dilindungi. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) menggesa supaya kerajaan segera menyediakan peruntukan undang-undang mengklasifikasikan perbuatan menghendap sebagai kesalahan jenayah.

Pegawai Advokasi Kanan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Rusni Tajari, berkata, selagi menghendap tidak diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah, mangsa dan ribuan lagi rakyat di negara ini yang dihendap setiap tahun, kekal tanpa perlindungan.

Justeru, katanya sebanyak 51 NGO mendesak kerajaan segera menjadikan perbuatan itu sebagai jenayah melalui memorandum yang akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/tajri26a_1635220349.jpg
Rusni Tajar

NGO berkenaan terdiri daripada pelbagai pertubuhan termasuk yang memperjuangkan kesaksamaan jantina serta hak asasi manusia dan kanak-kanak seperti WAO, Aliran, All Women's Action Society (AWAM); Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM; Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional.

Selain itu, Association of Women Lawyers (AWL); Borneo Komrad; Cahaya Society; Centre for Independent Journalism (CIJ); EMPOWER Malaysia dan ENGENDER Consultancy.

"Kita merancang menyerahkan memorandum itu kepada Wan Junaidi dan Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, di Parlimen, dalam masa terdekat," katanya.

Setakat ini katanya, WAO yang akan mewakili kesemua NGO itu bagi menyerahkan memorandum berkenaan secara terus kepada menteri dan timbalannya masih menunggu maklum balas selepas ia diserahkan lebih awal melalui e-mel kepada kedua-duanya, sebelum ini.

"Kami meminta kabinet Malaysia, Parlimen Malaysia dan menteri Undang-Undang untuk mengklasifikasikan perbuatan menghendap di Malaysia sebagai jenayah dengan segera.

"Tambahan lagi usaha ini disokong secara menyeluruh termasuk oleh parti politik, agensi kerajaan, NGO, ahli akademik, dan orang awam.

"Sejak awal tahun lalu, draf pindaan undang-undang kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah sudah disediakan Jawatankuasa Anti Menghendap yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan kami meminta tindakan segera bagi memastikan usaha ini tidak tertangguh lagi," katanya.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/hendap26a_1635220336.jpg
Perbuatan menghendap perlu segera diklasifikasikan sebagai jenayah supaya mangsa boleh mendapatkan perlindungan pihak berkuasa. - Foto ihsan WAO

Terdahulu, WAO dalam kenyataan media berkata, satu kajian oleh pihaknya dan Vase.ai sebelum ini menunjukkan lebih satu pertiga rakyat di negara ini pernah dihendap sehingga mengalami ketakutan malah ia masih berlaku sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) COVID-19 berkuatkuasa.

Rusni berkata, banyak negara sudah mengklasifikasikan perbuatan menghendap sebagai jenayah termasuk Filipina, Jepun, Australia, Afghanistan, India, Singapura, Mongolia, Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan, Jerman, Republik Czech, United Kingdom dan Korea Selatan.

"Bagaimanapun di Malaysia, ia masih belum dianggap satu kesalahan jenayah.

"Tiada peruntukan undang-undang membolehkan mangsa menghendap mendapatkan perintah perlindungan atau menghalang pihak yang menghendap menyebabkan mangsa tidak dapat dilindungi dan ini perlu diubah," katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2021/10/880146/ramai-jadi-mangsa-perbuatan-menghendap

Pages: [1]
View full version: Ramai jadi mangsa perbuatan menghendap


ADVERTISEMENT