kerisnaga Publish time 26-11-2021 08:12 PM

Bulan Zakat Pulau Pinang tingkat kesedaran umat Islam berzakat

Bulan Zakat Pulau Pinang tingkat kesedaran umat Islam berzakat
MOHD ISKANDAR OTHMAN | | 26 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/26/1324172.jpg
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) ketika melancarkan Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2021 di Masjid Jamek Sungai Gelugor, pada Khamis.


GEORGETOWN - Menyemarakkan kesedaran berzakat kepada umat Islam sekali gus memberi manfaat dan impak besar kepada pembayar dan penerima zakat di Pulau Pinang menjadi objektif utama penganjuran bulan zakat bagi tahun 2021.


Penganjuran yang masuk siri ke tiga tahun ini merupakan inisiatif untuk mempromosikan dan menyebarluaskan informasi berkaitan kewajipan ibadat zakat kepada masyarakat Islam di negeri ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazaki berkata, sebanyak 20 program diaturkan sepanjang bulan zakat antaranya yang telah berlangsung ialah kuiz, pertandingan menulis khutbah zakat, Majlis Penandatanganan MOA Projek Makmal Sosio Akademik @ Sungai Nibong di antara ISDEV ZPP dengan Zakat Pulau Pinang serta banyak lagi.


"Penganjuran bulan zakat pada tahun ini akan diisi dengan program-program yang memberi impak kepada mustahiq dalam memacu kestabilan jaminan sosioekonomi asnaf yang melibatkan aktiviti pemerkasaan asnaf seperti majlis perasmian projek ladang nanas asnaf, kursus berasaskan nanas bagi bengkel masakan asnaf dan kursus pemasaran produk penerima bantuan EKUINAS.


"Selain itu, aktiviti penyerahan bantuan secara one-off bagi membantu memacu pendidikan di Pulau Pinang melalui majlis penyerahan dermasiswa pengajian, saguhati guru agama dan guru al-Qur’an akan dilangsungkan dalam penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Zakat bagi tahun 2021 di Masjid Jamek Sungai Gelugor, di sini pada Khamis.


Hadir merasmikan, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/26/1324171.jpg
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada asnaf yang terjejas akibat Covid-19.


Amran berkata, melalui program yang dijalankan, bantuan bagi segmen kesihatan dan kemanusiaan turut dilaksanakan menerusi majlis penyerahan sumbangan mesin oksigen dan geran tahunan zakat kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital-Hospital Negeri Pulau Pinang dan majlis penyerahan bantuan mangsa banjir di Yan, Kedah.


Amran berkata, penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang bukan sekadar program tahunan ZPP, malah ia merupakan program penting yang banyak mempengaruhi prestasi jumlah kutipan dan pembayar zakat terutama pada penghujung bulan Disember.


Katanya, ZPP menyedari pandemik Covid-19 telah banyak mempengaruhi persekitaran ekonomi masyarakat dan pihaknya juga tidak terkecuali berdepan pelbagai cabaran dalam menguruskan kutipan zakat di negeri Pulau Pinang semasa pandemik sedang melanda.


"Oleh itu, dalam penganjuran bulan zakat ini, penerokaan kepada akses baharu kutipan zakat yang sesuai dengan norma baharu pasca pandemik Covid-19 akan dlaksanakan," katanya.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/174621/EDISI/Bulan-Zakat-Pulau-Pinang-tingkat-kesedaran-umat-Islam-berzakat
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: Bulan Zakat Pulau Pinang tingkat kesedaran umat Islam berzakat


ADVERTISEMENT