kerisnaga Publish time 26-11-2021 02:36 PM

Projek ladang rakyat buat asnaf

Edited by kerisnaga at 26-11-2021 02:37 PM

Projek ladang rakyat buat asnaf

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/stong26hm_1637907530.jpg
ABDUL Khalim Abu Samah. Foto Siti Rohana Idris

Kuala Krai: Tanah berkeluasan 1,000 hektar daripada kawasan hutan simpan di Kelantan yang sebelum ini diteroka secara haram akan dipulihkan melalui projek agropertanian.


Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, kerajaan negeri memperuntukkan keluasan itu sebagai permulaan kepada projek ladang rakyat dan akan menyasarkan golongan asnaf sebagai peserta.


"Mana-mana kawasan yang sudah ditanam dengan durian atau getah, kita kekalkan sebab ia pokok berkayu dan menongkat tapi saya wajibkan di celahnya ditanam dengan pokok hutan atau nadir.


"Kita akan keluarkan permit penggunaan dan sebagai permulaan, kerajaan negeri serahkan 1,000 hektar untuk pulihkan kawasan itu melalui projek agropertanian.


"Projek itu sudah dilancarkan tahun lalu namun kami sedang mengenalpasti kawasan hutan simpan yang sesuai untuk dijalankan projek terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pemuliharaan laluan pendakian Taman Negeri Gunung Stong di sini, semalam.


Abdul Khalim berkata, dari segi pemilihan peserta pula, pihaknya menyarankan kepada kerajaan negeri supaya dipilih dalam kalangan asnaf dan boleh dipertimbangkan untuk kaum lain selain Melayu.


Katanya lagi, majoriti peneroka haram sebelum ini adalah bukan rakyat Kelantan dan pihaknya tidak boleh berkompromi dengan tindakan mereka 'mencuri' hak negeri ini walau diberi alasan tidak tahu ia kawasan hutan simpan.


"Tiga per empat peneroka haram sebelum ini adalah dari luar Kelantan dan 25 tahun mereka mengaut keuntungan berjuta dengan meneroka secara haram dan kerajaan negeri langsung tidak menerima apa-apa bayaran atau hasil.


"Alasan mereka adalah tidak tahu itu (kawasan) hutan simpan. Mereka teroka kawasan di tengah-tengah hutan simpan yang kita sukar kesan tambahan pula dengan kekangan kakitangan," katanya.


Beliau berkata, bagaimanapun sejak lima tahun kebelakangan ini, pihaknya sudah menggunakan teknologi dron yang boleh memantau dan kesan jika berlaku pencerobohan.


Menurutnya lagi, sebelum ini pihaknya menggunakan sistem 'Forest Monitoring Remote Sensing' (FMRS) yang menerima imej kawasan hutan simpan menerusi data yang dimasukkan dalam komputer.


"Bagaimanapun adakalanya data yang diterima adalah bukan terkini dan menerusi penggunaan dron kini, kami dapat memantau keadaan dalam hutan simpan yang merangkumi lebih 5,000 kilometer perimeter dengan baik," katanya.
Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 2:19pm

sumber


Pages: [1]
View full version: Projek ladang rakyat buat asnaf


ADVERTISEMENT