kerisnaga Publish time 23-11-2021 10:05 PM

Nahas pesawat Hawk: Panglima TUDM ziarah mangsa, waris juruterbang

Nahas pesawat Hawk: Panglima TUDM ziarah mangsa, waris juruterbang
NUR IFTITAH ROZLAN | | 23 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/23/1278165.jpg
Ackbal (tengah) meluangkan masa melawat Mohd Fareez di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Selasa.

SHAH ALAM - Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada Selasa meluangkan masa melawat juruterbang TUDM, Mejar Mohd Fareez Omar di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.


TUDM dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, Ackbal tiba di hospital jam 10 pagi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu Mohd Fareez dan isteri, Siti Hajar serta ahli keluarga mereka yang turut berada di hospital.


“Panglima Tentera Udara telah menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan daripada Tabung Musa’adah dan Tabung Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (KSSKA) di samping memberikan kata-kata semangat serta mendoakan kesihatan Mohd Fareez.


“Mohd Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan pada 17 November lalu di Hospital Seberang Jaya.


“Beliau dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di hospital bagi pemantauan perubatan dan rawatan susulan oleh pegawai perubatan,” kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu, Ackbal kemudiannya menziarahi keluarga Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy di Muadzam Shah, Pahang


Beliau tiba di kediaman keluarga Allahyarham Mohamad Affendi kira-kira jam 1.15 petang dengan diiringi Pegawai Memerintah Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Leftenan Kolonel Jafridin Bahari dan isteri, Jamilah Razali.



https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/23/1278164.jpg
Ackbal menyerahkan sumbangan kepada waris Allahyarham Kapten Mohamad Affendi di Muadzam Shah, Pahang.


“Panglima Tentera Udara telah menyampaikan sumbangan kepada waris Allahyarham dari Tabung Musa'adah, Tabung Khairat Kematian Koperasi Tentera dan Tabung KSSKA TUDM kepada isteri dan ibu Allahyarham.


“Isteri Panglima Tentera Udara, Norainy Shahar Alam turut menyampaikan sumbangan daripada badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Udara kepada kedua-dua isteri juruterbang pesawat Hawk yang terlibat,” kata kenyataan itu.


Dalam kejadian pada 16 November lalu, Kapten Mohamad Affendi, 31, meninggal dunia apabila pesawat TUDM yang dinaikinya terhempas ketika sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, Butterworth.


Seorang lagi iaitu Mejar Mohd Fareez Omar, 33, mengalami kecederaan. Nahas berlaku kira-kira jam 10.07 malam ketika kedua-dua juruterbang itu sedang melakukan latihan penerbangan (Night Flying).


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/174107/BERITA/Semasa/Nahas-pesawat-Hawk-Panglima-TUDM-ziarah-mangsa-waris-juruterbang
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

musangbodoh Publish time 24-11-2021 12:00 PM

terbaik ade sumbangan dan lawatan...harap nasib kedua2 family turut dibela {:thumbo
Pages: [1]
View full version: Nahas pesawat Hawk: Panglima TUDM ziarah mangsa, waris juruterbang


ADVERTISEMENT