kerisnaga Publish time 22-11-2021 08:50 PM

JBPM kenal pasti lebih 200 lokasi banjir

JBPM kenal pasti lebih 200 lokasi banjir
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 22 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/22/1276711.jpg
Mohammad Hamdan menyemat pingat kepada salah seorang anggota di Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 JBPM Pulau Pinang.


SEBERANG JAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan lebih 200 lokasi hotspot banjir di negara ini berikutan pertambahan kawasan yang diklasifikasikan sebagai lokasi bencana itu.


Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan berkata, JBPM telah bersiap sedia bagi menghadapi bencana itu sejak September lalu termasuk penyediaan peralatan logistik darat, laut dan udara.


Menurut beliau, lokasi baharu yang dikenalpasti ialah Maran, Kuala Lipis dan Kota Tinggi.


"Disebabkan berlaku kejadian seperti ini, maka kita bukan saja memberi tumpuan kepada kawasan hotpsot sebaliknya kawasan lain yang dilihat berpotensi berlaku bencana itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 JBPM Pulau Pinang di sini pada Isnin.


Mohammad Hamdan berkata, pihaknya juga akan membekukan cuti 12,500 anggota dan pegawai bomba untuk bersedia menghadapi banjir.


Mengulas mengenai pengurusan banjir ketika pandemik Covid-19, Mohammad Hamdan berkata, ia agak mencabar berikutan perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan beberapa perkara lain.


"Kita perlu bekerjasama dengan agensi lain ketika pengurusan mangsa banjir seperti di kawasan kuarantin dan hospital. Pusat pemindahan sementara (PPS) juga perlu mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.


Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya sedang dalam kajian untuk mengurangkan masa bertindak (response time) daripada 10 minit kepada lapan minit.


Sementara itu, Mohammad memberitahu, daripada 147,000 panggilan kecemasan setahun, hanya kira-kira 60 peratus dicapai kurang daripada 10 minit.


"National average response time' kita tetapkan 10 minit,dan apabila kita perbaiki nanti dari segi SOP dan pelbagai aspek termasuk kajian yang sedang dijalankan untuk menambah baik dari segi perkhidmatan kebombaan, perlindungan kepada masyarakat dan lokasi balai yang belum dibina.


"Ada cadangan supaya kita menurunkan 'national average response time' kepada lapan minit namun banyak perkara perlu dilihat terlebih dahulu. Kita mungkin boleh capai 100 peratus (di bawah 10 minit) di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Perlis.


"Bagaimanapun, di negeri besar seperti Sarawak, Sabah, Pahang, Kelantan dan Perak tidak boleh dicapai. Jika berlaku di kawasan pedalaman, kita akan mengambil masa yang lama kerana tiada balai yang terdekat. Oleh itu, kajian faktor ini yang kita perhalusi untuk memperbaiki perkhidmatan kita," katanya.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/173887/BERITA/Semasa/JBPM-kenal-pasti-lebih-200-lokasi-banjir
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: JBPM kenal pasti lebih 200 lokasi banjir


ADVERTISEMENT