Raline Publish time 20-11-2021 05:48 PM

Sektor hartanah mulai rancak

Sektor hartanah mulai rancak

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/20hmSheldon_1637362817.jpg
Sheldon

Kuala Lumpur: Keyakinan pasaran terhadap sektor hartanah akan terus dipengaruhi oleh perkembangan positif atau negatif berhubung Covid-19 sehingga ancaman pandemik ini dapat dikawal sepenuhnya.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, berdasarkan laporan Malaysia Property Market Index (MPMI) terkini, ia mencatatkan pertumbuhan suku tahunan sebanyak 0.92 peratus bagi harga permintaan pada suku ketiga (Q3) 2021, menandakan permulaan pemulihan pasaran di seluruh negara berikutan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pembukaan semula sektor ekonomi.

"Peningkatan harga permintaan hartanah ini dikesan di empat wilayah utama yang dikaji oleh MPMI, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, masing-masing mencatatkan peningkatan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 1.56 peratus, 1.5 peratus, 1.38 peratus, dan 0.15 peratus.

"Ini adalah kali pertama keempat-empat pasaran utama menyaksikan kenaikan harga permintaan sejak penularan pandemik Covid-19 bermula pada Q2 2020," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kadar vaksinasi yang dipercepatkan, digandingkan dengan pembukaan semula ekonomi adalah pemangkin yang mendorong kenaikan harga permintaan baru-baru ini.

"Walaupun kenaikan harga baru-baru ini membayangkan pemulihan sektor hartanah Malaysia, ia akan mengambil sedikit masa sebelum nilai hartanah kembali ke tahap prapandemik," katanya.

Menurutnya, Indeks Bekalan Hartanah PropertyGuru Malaysia yang menjejaki bekalan melalui penyenaraian hartanah di laman web, mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 6.51 peratus dalam jumlah bekalan pada Q3 2021, suku ke suku (QoQ), walaupun terdapat peningkatan sebanyak 11.94 peratus pada suku sebelumnya.

"Aliran jumlah bekalan yang menurun dalam sektor utama mungkin disebabkan oleh penangguhan kerja pembinaan pada tempoh kawalan pergerakan pada Q3 2021 yang menyebabkan pembinaan projek dan pelancaran pembangunan baru tergendala.

"Sementara itu, penurunan sementara jumlah bekalan daripada pasaran sekunder berkemungkinan besar didorong oleh keraguan dalam kalangan penjual di pasaran, disebabkan oleh kekurangan pembeli dan kejatuhan harga rumah yang dapat dilihat pada bulan-bulan sebelumnya.

"Penurunan mendadak dalam jumlah bekalan hartanah pada Q3 2021 adalah peringatan bahawa sektor hartanah masih terjejas akibat kesan pandemik.

"Namun, penting untuk kita ambil perhatian bahawa aktiviti penyenaraian di laman web PropertyGuru telah meningkat pada Q4 2021. Kami menjangkakan perubahan dalam aliran berkenaan menjelang akhir tahun ini sekiranya harga hartanah terus stabil atau meningkat pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Sheldon berkata, secara keseluruhannya, pasaran hartanah dijangka menyaksikan peningkatan beransur-ansur, tetapi stabil pada bulan-bulan akan datang, sejajar dengan keseluruhan aktiviti ekonomi, sentimen terhadap pekerjaan dan kestabilan kewangan yang bertambah baik serta peningkatan peratusan individu lengkap vaksinasi.

"Bagaimanapun, dalam tempoh terdekat ini, keyakinan pasaran akan terus dipengaruhi oleh perkembangan positif atau negatif berhubung dengan Covid-19.

"Sehingga ancaman pandemik ini dapat dikawal sepenuhnya, kita patut terus berhati-hati, bukan sahaja dari segi pandangan pasaran, tetapi juga dalam kehidupan seharian kita dengan pematuhan ketat SOP kerana kita masih belum menang sepenuhnya," katanya.



Sumber:https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/11/779373/sektor-hartanah-mulai-rancak

Pages: [1]
View full version: Sektor hartanah mulai rancak


ADVERTISEMENT