Raline Publish time 19-11-2021 09:24 AM

4,303 tempahan Myvi Baharu dalam masa sembilan hari

4,303 tempahan Myvi Baharu dalam masa sembilan hari

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm1811myvi_1637274019.jpg
MYVI Baharu yang ditawarkan pada harga bermula daripada RM45,700.

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan Myvi Baharu semalam pada harga bermula RM45,700.

Ia mencatatkan 4,303 tempahan dalam tempoh sembilan hari dengan penghantaran serta-merta pada keesokan harinya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Myvi Baharu yang menelan belanja RM50 juta untuk dibangunkan itu dilengkapi teknologi canggih, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api lebih baik, penampilan baharu yang sporty serta warna baharu.

"Kami jangka untuk menerima 6,000 unit pendaftaran setiap bulan yang membolehkan kami mengekalkan kecenderungan jualan Myvi pada masa akan datang.

"Myvi menarik perhatian rakyat Malaysia dan diterima secara meluas oleh masyarakat. Tawaran baharu ini demi memastikan pelanggan kami memperoleh nilai terbaik," katanya dalam kenyataan selepas pelancaran model terbaharu itu, semalam.

Myvi Baharu ditawarkan dalam varian 1.5 liter AV (Advance) pada harga RM58,800; 1.5 liter H (RM53,900); 1.5 liter X (RM49,900); 1.3 liter G PSDA (RM47,700) dan 1.3L G Basic (RM45,700).

Katanya, pelancaran varian baharu ini dalam tempoh minggu sama dengan pelancaran Myvi generasi ketiga iaitu pada 16 November 2017.

"Myvi yang mula diperkenalkan pada Mei 2005 terjual 1.3 juta unit setakat ini dan daripada jumlah itu, Myvi generasi ketiga terjual 277,329 unit," katanya.

Perubahan ketara pada Myvi termasuk penambahbaikan dalam sistem keselamatannya, menampilkan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang direka dengan mengambil kira keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

PSDA termasuk Advance Safety Assist versi 3.0, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKS), Blind Spot Monitoring System (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) (Tersedia dalam semua varian kecuali varian 1.3L G terendah).

Katanya, ini bermakna semua varian Myvi Baharu kini mempunyai teknologi Autonomi Tahap 2 kecuali satu daripada varian G.

"Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia, syarikat kereta menawarkan teknologi Autonomi Tahap 2 kepada model di bawah tanda harga RM60,000," katanya.

Semua varian di bawah Myvi Baharu menampilkan transmisi baharu iaitu Dwimod CVT (Continuous Variable Transmission), menggantikan transmisi 4-kelajuan.

"Dwi-mod CVT meningkatkan lagi kecekapan transmisi, ringan dan bersaiz kompak, memberikan lebih kuasa pecutan dan lancar pada kelajuan rendah serta menjadikan kenderaan lebih senyap selain meningkatkan kecekapan bahan api," katanya.

"Dengan penambahbaikan ini, Myvi Baharu mampu mencatatkan peningkatan sebanyak lima peratus atau tambahan 1 kilometer bagi setiap liter bahan api serta 20 peratus pecutan yang ditambahbaik.

"Peningkatan kecekapan bahan api Myvi Baharu adalah komitmen kami ke arah mengurangkan impak kepada alam sekitar dan usaha kami ke arah matlamat untuk menjadi sebuah organisasi karbon neutral," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/11/778976/4303-tempahan-myvi-baharu-dalam-masa-sembilan-hari

Pages: [1]
View full version: 4,303 tempahan Myvi Baharu dalam masa sembilan hari


ADVERTISEMENT