kerisnaga Publish time 18-11-2021 11:31 AM

'Biar kakak ipar bertenang'

'Biar kakak ipar bertenang'

Audrey Dermawan dan Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/nursediha1_1637191813.jpg
NUR sebak ketika hadir di Unit Forensik HSJ untuk membuat pengecaman jenazah Mohamad Affendi. FOTO Danial Saad


Seberang Jaya: Selaku anak sulung, sifat bertanggungjawab dan daya kepemimpinan sudah tersedia dalam diri Kapten Mohamad Affendi Bustamy, bahkan semakin terserlah sejak menyarung seragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau juga pernah diiktiraf atas usaha inovasi dalam rangka tindakan yang membolehkan pesawat TUDM berhenti dengan selamat tanpa kemudaratan.
Anugerah Green Endorsement TUDM itu diterima Mohamad Affendi di Subang Jaya, Selangor minggu lalu yang disampaikan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.
Namun, takdir menentukan hayat juruterbang berusia 31 tahun itu tidak lama apabila dijemput Ilahi ketika menjalani latihan penerbangan malam bersama rakan, Mejar Mohd Fareez Omar, kelmarin.
Mohamad Affendi meninggal dunia selepas pesawat Hawk 108 yang mereka naiki terhempas di landasan Pangkalan Udara TUDM Butterworth. Mohd Fareez pula cedera dan dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Adik Allahyarham yang dikenali sebagai Nur ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HSJ, semalam berkata, keluarga mereka terutama isteri Allahyarham, Nurul' Izzati Shari, 31, masih terkejut dengan apa yang berlaku dan sedang berduka.
"Abang saya adalah anak sulung daripada tiga beradik dan dia seorang abang yang sangat baik serta bertanggungjawab kepada keluarga.
"Dia dan isterinya menetap di Labuan, tetapi abang berada di Pulau Pinang kerana latihan manakala isterinya pulang ke kampung di Kelantan untuk bercuti.
"Kakak ipar saya masih terkejut dan sedih dengan apa yang berlaku. Saya harap dia diberi ruang (tidak diganggu)," katanya yang menemani kakak iparnya untuk urusan pengecaman mayat serta tuntutan jenazah bagi pengebumian.
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/nursediha2_1637191816.jpgALLAHYARHAM Kapten Mohamad Affendi.
Nur yang juga adik bongsu Mohamad Affendi memberitahu, mereka sekeluarga bergegas ke sini sebaik dimaklumkan oleh wakil rasmi TUDM mengenai tragedi menimpa insan kesayangan mereka.
Katanya, walaupun tidak menyangka insiden itu meragut nyawa Mohamad Affendi, mereka sekeluarga reda menerima qada dan qadar Allah SWT.
"Jenazah abang akan dibawa pulang ke kampung halaman kami di Muadzam, Pahang untuk pengebumian hari ini (semalam)," katanya.
Terdahulu, jenazah Mohamad Affendi selesai dibedah siasat kira-kira jam 2 petang dan dibawa ke Pangkalan Udara Butterworth sebelum diterbangkan ke kampung halamannya.
Dalam kejadian jam 10.07 malam kelmarin, sebuah pesawat Hawk 108 milik TUDM dilaporkan terhempas ketika dua juruterbangnya mengadakan sesi latihan penerbangan malam.
Insiden menyebabkan Mohamad Affendi maut, manakala rakannya, Mohd Fareez, 33, cedera dan kini menerima rawatan di HSJ serta dilapor stabil.

Disiarkan pada: November 18, 2021 @ 7:30am







Pages: [1]
View full version: 'Biar kakak ipar bertenang'


ADVERTISEMENT