kerisnaga Publish time 17-11-2021 10:00 PM

Isu judi di Kedah: Cadang sesi dialog antara agama

Isu judi di Kedah: Cadang sesi dialog antara agama
ROSLINDA HASHIM | | 17 November 2021


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/17/1271301.jpg
Foto 123rf. (Gambar kecil: Najmi)

ALOR SETAR - Satu sesi dialog antara agama dicadangkan untuk mengupas pandangan pelbagai pihak berkaitan keputusan kerajaan negeri Kedah menghentikan kelulusan lesen premis perjudian dan mengehadkan aktiviti penjualan arak.


Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, pihaknya selaku pengerusi jawatankuasa portfolio agama bersedia menjadi sekretariat kepada sesi dialog berkenaan.


Beliau berharap cadangan itu dipersetujui semua pihak bagi merungkai kekeliruan berhubung ketetapan baharu itu di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.


“Isu judi dan arak dibangkitkan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Malah, ia dibincangkan secara meluas di media sosial.


"Oleh itu, saya mencadangkan satu sesi dialog antara agama diadakan khas untuk membincangkan perkara ini,” katanya ketika mengambil bahagian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Rabu.


Najmi juga berharap semua pihak bersikap terbuka untuk membincangkan isu berkenaan demi kepentingan rakyat Kedah.


Tan Kok Yew (DAP-Derga) turut mencadangkan agar sesi dialog antara agama dilakukan untuk pelbagai isu berkaitan dalam usaha membentuk Kedah yang lebih harmoni.


“Saya mencadangkan supaya kita bukan sahaja membincangkan isu judi, tetapi isu rumah ibadat dan yang berkaitan untuk membentuk sebuah negeri muhibah bagi semua kaum,” kata Kok Yew ketika mencelah penggulungan Najmi.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Najmi berkata, perpindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Meriam wajar dilakukan kerana kawasan sekolah berkenaan berisiko tinggi kejadian gelongsoran dan jatuhan batu berulang.


“Surat bertarikh 12 Mac 2020 menyatakan bahawa kawasan itu amat berbahaya dan tidak selamat kepada pelajar dan kakitangan sekolah.


“Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan kejuruteraan cerun mencadangkan supaya sekolah itu berpindah ke kawasan selamat. Pada 20 Oktober 2020, runtuhan tanah dan batuan besar terus berlaku di kawasan sekolah,” jelas beliau.


Menurutnya, terdapat batuan tergantung pada pembukaan cerun yang mana sudut kecerunan dianggarkan sekitar 70 darjah dan dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.


“Kos untuk melakukan pengukuhan cerun dianggarkan bernilai RM9.4 juta, tidak termasuk kos pengambilan tanah. Kos perataan bukit dan bayaran pampasan pula sekitar RM30 hingga RM40 juta.


"Berbanding kos pembinaan sekolah di tapak baharu dengan 12 bilik darjah di dua blok dua tingkat, termasuk kos pengambilan tanah serta kemudahan infrastruktur seperti padang, dianggarkan hanya RM30 juta. Pada saya ini opsyen terbaik,” kata beliau.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/172964/EDISI/Isu-judi-di-Kedah-Cadang-sesi-dialog-antara-agama
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: Isu judi di Kedah: Cadang sesi dialog antara agama


ADVERTISEMENT