kerisnaga Publish time 17-11-2021 09:25 PM

Sindiket pengedaran dadah tumpas, ketua ditahan

Edited by kerisnaga at 17-11-2021 09:27 PM

Sindiket pengedaran dadah tumpas, ketua ditahan

BERNAMA
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/cuffs5_1637145561.jpg
Gambar hiasan


Georgetown: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki dan merampas 27 kilogram (kg) pelbagai dadah bernilai RM146,774 dalam serbuan di kawasan parkir di Seberang Jaya, dekat sini, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, serbuan jam 12 tengah hari itu atas hasil maklumat serta risikan yang dijalankan sejak seminggu lalu.
Katanya, suspek berusia 37 tahun yang merupakan ketua sindiket pengedaran dadah itu didapati bekerja di pusat mencuci kereta.
"Polis merampas dadah jenis ganja seberat 6.4 kilogram (kg) bernilai RM15,000 yang disimpan di dalam kereta Perodua Myvi milik lelaki itu, sebelum serbuan dilakukan ke atas rumah sewanya di kawasan flat kos rendah di Seberang Jaya.
"Dalam serbuan di rumah itu, polis menemukan 12 ketulan ganja seberat 12.4 kg, tiga paket syabu (1.8 kg), satu ketulan heroin base (375 gram) dan serbuk kafein (6.6 kg), yang kesemuanya bernilai RM131,774. Semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 72,000 penagih," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan dadah daripada rangkaian tempatan dan bergerak aktif sejak Jun lalu hingga mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.
Mustafa Kamal berkata ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, katanya, polis Pulau Pinang telah merampas dadah bernilai RM113 juta, menahan 6,778 individu dan merampas pelbagai aset bernilai RM31.4 juta, membabitkan kes dadah sejak Januari hingga semalam.
"Sepanjang tempoh sama kami telah melancarkan 30 Op Sarang di seluruh negeri dan menahan 609 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah. Kami akan terus berusaha bagi memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah dan memperkasa penguatkuasaan undang-undang," katanya.
Menurutnya menerusi Op Sarang yang dijalankan Isnin lalu di sekitar daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (SPU), pihaknya menahan 69 lelaki termasuk tiga warga asing dalam lingkungan usia 19 hingga 60 tahun, kerana terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
"Dalam operasi yang dijalankan serentak di Barat Daya dan SPU bermula jam 12 tengah malam hingga 4 petang itu, polis turut merampas dadah jenis syabu, heroin dan cecair ketum bernilai RM1,768, membabitkan kawasan serbuan di sekitar Teluk Kumbar, Batu Maung dan Teluk Bahang (Barat Daya) serta di Pekan Darat dan kawasan lain sekitar SPU," katanya.
Menurut Mustafa Kamal semua tahanan didapati positif dadah dan kebanyakan mereka adalah buruh dan nelayan, malah ada yang pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan sama.
Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 6:39pm


sumber





Pages: [1]
View full version: Sindiket pengedaran dadah tumpas, ketua ditahan


ADVERTISEMENT