kerisnaga Publish time 16-11-2021 05:22 PM

Perak sasar jadi negeri contoh industri lestari

Perak sasar jadi negeri contoh industri lestari
NORMAWATI ADNAN | | 16 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/16/1270017.jpg
Mohd Akmal (tengah) sempena Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negeri Perak 2021 di Ipoh pada Selasa.

IPOH - Perak sasar menjadi negeri contoh bagi agenda pembangunan industri lestari dalam tempoh lima tahun akan datang.


Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ketika ini beberapa inisiatif yang berfokus kepada kelestarian telah digerakkan mengambil kira keterlibatan pemain-pemain industri dan syarikat.


Menurutnya, antara yang telah dilaksanakan kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah pendekatan bimbingan dan penganugerahan bagi mewujudkan kerjasama yang baik dengan pemain industri dalam konteks pemeliharaan dan pemuliharaan.


"Sebelum ini, orang anggap JAS hanya jabatan yang menguatkuasakan undang-undang mengeluarkan kompaun tetapi sebenarnya boleh juga berperanan sebagai pendidik, memberi tunjuk ajar kepada syarikat untuk menjadi pemain industri yang lestari.


"Sasaran kita hendak jadikan Perak nombor satu dari segi penjagaan alam sekitar dan ia perlulah bermula daripada pemain-pemain industri.


"Kita tidak menghalang pembangunan dibangunkan di negeri ini, cumanya mereka ini perlu diberi tunjuk ajar supaya dalam masa sama masih mengekalkan dan menjaga kelestarian alam sekitar," katanya selepas merasmikan Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negeri Perak 2021 di sini pada Selasa.


Beliau berkata, peringkat permulaan fokus bimbingan diberikan kepada 36 syarikat kuari dan 42 kilang kelapa sawit dan akan diperluas ke syarikat kilang sarung tangan getah dan kilang batu kapur dalam tempoh dua tahun lagi.


Katanya, pelbagai agensi luar turut dijemput untuk sama-sama berbincang mencari solusi dalam membimbing syarikat terlibat dalam meningkatkan pematuhan undang-undang serta melonjakkan imej industri sebagai penggerak kepada kelestarian alam sekitar.


"Sasaran kita dalam tempoh tiga ke lima tahun ini, ada satu standard lebih baik untuk dilaksanakan oleh semua pemain industri dalam kategori yang sama hingga sampai satu tahap, Perak menjadi rujukan kepada negara dan negeri luar," katanya.


Dalam pada itu, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, kadar pematuhan syarikat kuari dan kilang kelapa sawit di negeri ini terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 masih pada tahap kurang memuaskan.


Katanya, berdasarkan rekod, hanya 50 peratus daripada syarikat pemprosesan minyak sawit di seluruh negeri mematuhi akta berkenaan manakala daripada 136 syarikat kuari, 76 daripadanya mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA).


"Hasil penguatkuasaan yang dijalankan sejak tahun lalu, sebanyak 161 kompaun telah dikeluarkan kepada kilang minyak sawit dan 48 kompaun ke atas syarikat kuari atas pelbagai kesalahan pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.


Dalam majlis itu, Thang Kiang Nam Trading Sdn Bhd menerima Anugerah Khas Kuari Lestari kategori Komitmen Dokumentasi; Simfoni Saujana Sdn Bhd (Anugerah Khas Landskap) dan MCB Quarries Sdn Bhd (Anugerah Khas CSR).


Sementara itu, Ulu Bernam Optimill diumum sebagai penerima Anugerah Khas Kilang Kelapa Sawit Lestari kategori Alam Sekitar; Boustead Plantations Berhad (Pengurusan Buangan Terjadual Terbaik); Topaz Emas Sdn Bhd (Pengurusan Efluen Terbaik) dan UIE (M) Sdn Bhd (Pengurusan Udara Terbaik).


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/172755/EDISI/Perak-sasar-jadi-negeri-contoh-industri-lestari
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: Perak sasar jadi negeri contoh industri lestari


ADVERTISEMENT