tari Publish time 16-11-2021 11:38 AM

Pengundian secara berfasa di kem tentera, elak kesesakan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/tunggu_1637030085.jpg
SUASANA di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2 anggota Tentera membuang undi mereka ketika proses undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka . FOTO Asyraf Hamzah.



Melaka: Proses pengundian di tujuh pusat mengundi awal bagi 10,191 anggota tentera dan pasangan dijalankan secara berfasa bagi mengelak kesesakan, di samping memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi.
Sebaik pusat mengundi awal dibuka jam 8 pagi, anggota dan pasangan disarankan untuk turun mengundi mengikut waktu ditetapkan iaitu bagi fasa satu, bermula jam 8 hingga 10 pagi dan 10 pagi hingga 12 tengah hari bagi fasa dua.
Dua lagi fasa iaitu bermula jam 12 tengah hari hingga 2 petang dan terakhir, jam 2 hingga 4 petang.
Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, pengundian secara berfasa itu akan memudahkan anggota dan pasangan turun mengundi, selain mengelak mereka perlu menunggu lama.


Katanya, kaedah itu juga menjamin keselamatan pengundi, khususnya dalam memastikan penjarakan sosial dipatuhi sepanjang proses pengundian berjalan.
"Saya lihat anggota dan pasangan begitu teruja, apatah lagi ini kali pertama Melaka ada Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Kita sudah menentukan pergerakan anggota setiap pasukan yang diberi waktu tertentu untuk mengundi supaya mereka dapat keluar mengikut fasa," katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 2, Sungai Udang di sini, hari ini.
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/undi_1637030093.jpg SEORANG anggota tentera membuang undi Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2 ketika proses undi awal PRN Melaka . FOTO Asyraf Hamzah
Beliau juga memberi jaminan proses pengundian awal kali ini akan berjalan dengan lancar dan selamat.
"Saya memberi jaminan proses pengundian selamat. Saya lihat ketika berada dalam pusat mengundi, sudah diambil langkah kawalan yang ketat, perlu ambil suhu, menjaga penjarakan fizikal dan sebagainya.
"Saya ingin memberikan keyakinan untuk semua pengundi pada 20 November (Sabtu ini) supaya jangan bimbang dan gusar. Proses SOP ketat. Saya tahu semua masih dibimbangi dengan PRN Sabah.
"Percayalah semuanya selamat. SOP dilaksana dengan kemas dan pasukan penguatkuasaan juga melaksana tugas dengan baik," katanya.
Tujuh lokasi mengundi bagi tentera dan pasangan akan dijalankan di Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Bilik Pusat Latih Palapes Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di DUN Durian Tunggal dan Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah membabitkan DUN Bukit Katil.
Di DUN Sungai Udang merekodkan empat pusat pengundian awal iaitu di SK Kem Terendak I, SK Kem Terendak II dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak serta Dewan Borhan, dengan jumlah 8,612 pengundi awal direkodkan.
Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 10:29am






Pages: [1]
View full version: Pengundian secara berfasa di kem tentera, elak kesesakan


ADVERTISEMENT